Keutamaan golongan B40 untuk sekolah berasrama penuh

19:08:00
PUTRAJAYA 19 Dis. - Kementerian Pendidikan akan memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti di sekolah berasrama penuh (SBP) bermula dengan pengambilan pada tahun depan.

Kementerian dalam satu kenyataan memberitahu, pengambilan tersebut akan memberikan lebih banyak peluang kepada anak-anak keluarga B40, sama ada dari kawasan luar bandar, miskin kota dan anak-anak anggota beruniform.
“Kemasukan murid bagi sesi kemasukan 2019 memberi keutamaan kepada murid dari kelompok B40 dengan jangkaan penawaran kepada murid dari kelompok B40 sehingga 60 peratus daripada keseluruhan penempatan.

“Walau bagaimanapun, penawaran ke Tingkatan 1 pada 2019 juga mengambil kira beberapa faktor lain seperti pemilihan SBP oleh pemohon, kapasiti enrolmen sesebuah SBP, jantina dan lokaliti pemohon,” katanya di sini hari ini.

Mengikut Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah Keperluan Asas 2016, golongan B40 adalah isi rumah berpendapatan purata RM2,848.

Tambah kementerian, pengambilan tahun depan menyaksikan permohonan sebanyak 77,487 kemasukan ke SBP dan daripada jumlah itu, 21,841 telah dikenal pasti melepasi syarat-syarat asas kelayakan.

Jelasnya, antara syarat kelayakan kemasukan adalah warganegara Malaysia dan mencapai tahap pencapaian minimum dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Selain itu, kata kementerian, syarat lain adalah pemohon menduduki dan mencapai aras toleransi sebanyak 65 peratus dalam Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) serta mencapai merit Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan psikometrik.

“Kementerian memberi komitmen untuk memastikan murid dari kelompok B40 diberi peluang semaksimum mungkin bagi mendapat pendidikan yang lebih teratur dalam persekitaran kondusif seperti yang berupaya ditawarkan di SBP,” katanya.

Sumber - UTUSAN ONLINE
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »