Jangan selesai tugas perkeranian guru sahaja, bilangan guru di sekolah juga tidak cukup

12:48:00
KUALA LUMPUR 30 Dis. - Komitmen Kementerian Pendidikan meringankan beban guru terutama dari segi tugas-tugas perkeranian mendapat sambutan baik daripada warga pendidik memandangkan isu tersebut te­lah berlanjutan sejak sekian lama.

Namun, tugas per­­keranian tidak re­le­van bukan satu-satunya beban terpaksa ditanggung golongan itu sebaliknya terdapat masalah seperti bilangan guru tidak mencukupi.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Husin berharap, Kementerian Pendidikan memfokus terhadap isu itu juga.

“Ini bukan isu kecil. Jika satu sekolah kurang lima guru, sudah kira-kira 125 waktu di sekolah itu tiada guru dalam seminggu. Ji­ka tiada guru ganti, guru lain pula perlu gantikan mereka, se­kali gus menambah beban guru lain.

“Kini tiada perun­tukan sekolah meng­ambil gu­ru ganti termasuk untuk guru yang mengambil cuti ber­salin. Peruntukan terpaksa diambil dari dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Gu­ru-Guru Muslim Ma­laysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan ju­ga berpendapat ma­salah kekurangan guru sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan.

“Memahami impak kewa­ngan yang besar jika kementerian mahu membuka perjawatan yang lebih ramai untuk guru, Azizee berpendapat kerajaan boleh memperluas pelantikan guru interim di seluruh negara.

“Tetapi guru interim ini perlu diambil daripada kalangan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dan diberi jaminan akan diserap sebagai guru tetap dalam tempoh beberapa tahun. Utusan Malaysia pernah melaporkan pada Julai lalu terdapat 6,500 graduan masih belum ditempatkan.

“Maknanya, yang nak jadi guru itu ada ramai malah berkelayakan, cuma untuk kurangkan beban kewangan lantik mereka sebagai guru interim terlebih dahulu sebelum diserap menjadi guru tetap,” katanya.

Untuk rekod, pengambilan guru interim hanya dilakukan di Sabah dan Sarawak bagi memenuhi kuota 90 peratus anak tempatan.

Sumber: Utusan

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »