9,350 calon layak, semua pelajar B40 ditawar masuk SBP

19:40:00
PUTRAJAYA - Seramai 9,350 pelajar berjaya dalam permohonan mereka untuk ditempatkan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, seramai 4,888 calon atau 52.28 peratus merupakan pelajar berpotensi daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Menurutnya, ia merupakan satu peningkatan sebanyak 15.34 peratus berbanding pengambilan sesi persekolahan untuk tahun ini.

"Kesemua pelajar cemerlang daripada keluarga B40 telah ditawar ke SBP selari dengan hasrat mengembalikan sekolah itu ke tujuan asalnya," katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, peratusan 52.28 yang dicapai merupakan satu pencapaian meskipun sasaran KPM adalah untuk menempatkan 60 peratus pelajar SBP daripada golongan B40.

Ini kerana menurutnya, secara perbandingan peningkatan itu adalah hampir 60 peratus berbanding jumlah pengambilan tahun ini.

"Secara tidak langsung pertambahan pengambilan pelajar B40 mencapai hasrat KPM dan kerajaan pada amnya.

"KPM yakin pengambilan kali ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada anak-anak keluarga B40 sama ada dari kawasan luar bandar, miskin kota dan anak-anak anggota beruniform untuk memperoleh kemudahan pendidikan lebih baik," katanya.

Sementara itu, KPM akan terus meningkatkan pendekatan proaktif bagi menambah bilangan pelajar dalam kalangan golongan B40 di SBP pada tahun-tahun akan datang.

"Tawaran kemasukan ke SBP juga mengambil kira keputusan Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh, merit Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Psikometrik," katanya.

Dalam pada itu, para pelajar yang gagal dalam permohonan ke SBP boleh membuat rayuan sehingga 15 Januari depan.

Rayuan boleh dibuat secara atas talian di laman web www.moe.gov.my bermula dari tarikh keputusan permohonan dikeluarkan iaitu 21 Disember lalu.

Sumber - K! ONLINE
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »