Wakil rakyat pembangkang tidak dibenar masuk sekolah tanpa kebenaran - Maszlee

10:42:00
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

“Saya sudah beberapa kali menjawab isu ini dan pekeliling juga sudah dikeluarkan yang menyatakan sebarang permohonan untuk masuk ke sekolah perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian melalui Pengarah JPN,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab celahan Tan Sri Noh Omar (BN UMNO-Tanjung Karang) sama ada peraturan itu hanya dikenakan kepada wakil rakyat pembangkang atau semua Ahli Parlimen, Maszlee berkata, ia terpakai kepada semua Ahli Parlimen pembangkang.

Noh yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu mendesak menteri supaya memberikan keterangan lanjut namun desakan itu tidak dilayan sebaliknya Maszlee berkata, beliau akan memberi jawapan bertulis mengenai perkara itu.

Semalam media melaporkan, Sabri Azit (PAS-Jerai) mendakwa beliau tidak dibenarkan masuk ke sekolah milik kerajaan bagi menghadiri program tanpa sebarang alasan kukuh.

Sabri berkata, beliau kesal dengan tindakan diskriminasi itu yang disifatkannya sebagai tidak sepatutnya berlaku.

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »