Spesifikasi kolam hotel tidak sesuai dengan pelajar sekolah - Persatuan Hotel

10:27:00
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Spesifikasi kolam renang yang dibina di bangunan hotel pelancongan sangat tidak bersesuaian dengan pelajar sekolah khususnya apabila menyentuh aspek keselamatan.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Sam Cheah Swee Hee, berkata kolam renang yang dibina di kebanyakan hotel pelancongan pada asalnya adalah sebahagian daripada tarikan pelancong, maka ia dilihat tidak bersesuaian dengan kanak-kanak.

Bagaimanapun katanya perkara berkaitan pembabitan industri perhotelan untuk membuka prasarana kolam renang hotel bagi tujuan pembelajaran renang itu perlu dikaji semula.
“Kami memuji Menteri dan inisiatif Kementerian untuk memupuk kesedaran dan kepentingan keselamatan di dalam air dalam kalangan kanak-kanak sekolah malah kami terbuka dengan peluang pembabitan sektor swasta termasuk hotel.

“Sebenarnya sudah ada hotel yang menyediakan kemudahan kolam renang mereka kepada pelajar bagi tujuan pembelajaran menerusi kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR), namun tidak semua bentuk kolam renang sesuai bagi tujuan ini khususnya untuk kanak-kanak.

“Isu keselamatan seharusnya menjadi perkara utama dalam hal ini, ini kerana kolam renang di hotel adalah bagi tujuan santai maka ia mempunyai kedalaman yang tidak sesuai untuk kanak-kanak, apatah lagi bagi sekumpulan pelajar sekolah,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Swee Hee juga berkata, pihak industri turut bimbang ia akan menjejaskan pelancong yang berkunjung ke hotel.

“Kemudahan hotel didedikasikan kepada pelanggan kerana pada asasnya mereka membayar untuk menggunakan segala kemudahan hotel, justeru dari sudut pandangan pelancong ini boleh menimbulkan kesan negatif.

“Kami berharap pihak Kementerian boleh meneliti semula cadangan ini supaya ia bersifat praktikal dan memikirkan keselamatan pelajar sekolah terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak, berkata pihak kementerian perlu menyediakan satu garis panduan yang jelas bagi melaksanakan pembelajaran renang.

“Garis panduan ini amat penting, kerana sebelum ini dalam pekeliling sekolah sudah tertulis pelajar tidak dibenarkan dibawa ke tempat air atas isu keselamatan.

“Namun sekiranya semua perkara boleh diperjelas dalam satu perbincangan antara pihak Kementerian dan hotel serta MoU mampu dicapai ia tidak mempunyai masalah.

“Mungkin Kementerian perlu mengeluarkan bajet yang lebih bagi melatih guru sebagai guru renang,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, akan berbincang dengan industri perhotelan berhubung keperluan menggunakan kolam renang mereka bagi pelajaran renang untuk pelajar sekolah yang akan diwajibkan kelak.

Usaha itu adalah sebagai tambahan terhadap apa yang diumumkan sebelum ini untuk menggunakan kemudahan kolam renang awam termasuk di kompleks sukan berhampiran sekolah.

Sumber: Berita Harian
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »