Penjelasan DLP tanggungjawab sekolah - Nie Ching

09:31:00
Imej via FB KPM
KUALA LUMPUR: Pihak sekolah bertanggungjawab memberi penjelasan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai kesesuaian seseorang pelajar mengikuti Program Dua Bahasa (DLP).
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata berdasarkan kajian kementerian, tidak semua pelajar sesuai mengikuti DLP, namun ada ibu bapa dan penjaga yang memiliki harapan tinggi mahukan anak mereka mengikuti DLP.

Pada masa sama, katanya, ibu bapa dan penjaga perlu mempunyai naluri menilai sama ada anak mereka sesuai mengikuti DLP atau sebaliknya, bagi mengelak pelajar rasa tertekan jika terpilih mengikuti program itu.

“Pihak sekolah bertanggungjawab memberi penerangan mengenai kebaikan dan kelebihan DLP kepada ibu bapa. Ia adalah program pilihan tetapi tidak semestinya sesuai untuk semua murid.

“Ada ibu bapa teringin anak mereka masuk DLP tetapi akhirnya pelajar yang tertekan.

“Justeru, sekolah patut menjelaskan manfaat DLP kepada ibu bapa dan penjaga bagi mengetahui ia sesuai atau tidak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN UMNO-Parit Sulong) sejauh mana keberkesanan DLP kepada murid dan langkah kementerian menambah baik sumber di sekolah luar bandar untuk meningkatkan DLP.

Sehingga kini, seramai 22,960 pelajar sekolah rendah dan menengah terbabit dalam program DLP.

Terdahulu, Nie Ching berkata, kementerian menjalankan kajian impak DLP yang lebih komprehensif bagi melihat keberkesanan program itu dan keputusan dijangka diketahui pada Januari tahun depan.

Beliau berkata, kajian itu dibuat selepas kementerian mengadakan dua fasa pemantauan pencapaian murid dan pelajar pada 2016 dan 2017.

“Fasa pertama membabitkan perbandingan antara pencapaian pelajar dalam peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris pada akhir 2016 dan pencapaian mereka dalam peperiksaan mata pelajaran sama bagi pertengahan 2017.

“Hasilnya, 36.28 peratus murid menunjukkan peningkatan dalam bahasa Inggeris manakala bagi sekolah menengah, 46.44 peratus pelajar menunjukkan peningkatan,” katanya.

Nie Ching berkata, pemantauan fasa kedua membabitkan perbandingan pencapaian pelajar dalam Bahasa Inggeris bagi peperiksaan pertengahan 2017 dan akhir tahun 2017 mendapati 55.82 peratus murid dan 57.23 peratus pelajar menunjukkan peningkatan. ​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​

Katanya, DLP adalah pilihan yang membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dan berdasarkan kajian keputusan peperiksaan akhir tahun bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik serta Sains, menunjukkan peningkatan ketara bagi yang mengikuti DLP.

Sumber: Berita Harian

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »