Nik Nazmi tidak setuju dengan Menteri Pendidikan

10:49:00
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak bersetuju dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang tidak membenarkan ahli Parlimen pembangkang menghadiri sebarang program di sekolah tanpa kebenaran.

Nik Nazmi berkata, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sering dijemput ke sekolah ke­rana premis itu adalah tempat penting dalam kehidupan sivik.

“Mengharamkan pembangkang dari datang ke sekolah dan institusi lain adalah salah satu salah guna kuasa paling buruk dilakukan Barisan Nasional (BN) dahulu. Ramai pimpinan Pakatan Harapan termasuk saya sendiri menjadi mangsa.
“Sekarang Pakatan Harapan telah jadi kerajaan, ia perlu meneruskan tindakan yang mempunyai etika dan bermoral tinggi. Kita mesti percaya wakil rakyat tidak kira parti untuk bertanggungjawab apabila terlibat dengan perbincangan awam ke­­rana mendapat kepercayaan pengundi mereka,” katanya di laman Twitter miliknya, hari ini.

Semalam Maszlee berkata, ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Maszlee berkata, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Tambah Nik Nazmi, tindakan boleh diambil jika wakil rakyat tersebut menyalah guna platform itu seperti menghasut kebencian kaum dan agama atau menyebar dakyah kepartian.

“Tetapi dalam kebanyakan kes, ahli politik harus dibenarkan masuk ke sekolah dan universiti apabila mereka dijemput. Saya tidak faham mengapa isu ini masih timbul.

“Kita tidak boleh amalkan dan menekan seperti kerajaan dulu, Pakatan Harapan mesti berbeza. Kita mesti lakukan le­bih baik dalam hal ini dan semua perkara,” katanya.

Sumber: Utusan

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »