Kurikulum pelajaran baharu bakal dilaksanakan pada 2021 - Maszlee

01:39:00
Imej via Kementerian Pendidikan Malaysia
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menggubal kurikulum pelajaran baharu yang dijangka dapat dilaksanakan pada penghujung 2020 atau awal 2021.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata perkara itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan bergantung kepada nasihat daripada Jawatankuasa Dasar dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang dilantik.

Beliau berkata, pihaknya bersama jawatankuasa dasar dan Penasihat Pendidikan Kebangsaan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bagi mendapatkan inspirasi dan membincangkan berhubung perkara berkenaan.
”Sewaktu bertemu Tun Mahathir beliau bersetuju berhubung perkara berkenaan dan meminta meneruskan perjuangan awal beliau ketika menjadi Menteri Pendidikan pada 1971 iaitu menjadikan masyarakat Malaysia yang bernilai tinggi serta rajin bekerja,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Kebangsaan Presint 16 (1) di sini, hari ini.

Ketika mengadakan lawatan kerja ke Singapura baru-baru ini, Tun Dr Mahathir turut mengusulkan perkara itu sewaktu menghadiri majlis minum petang dan seisi soal jawab bersama diaspora Malaysia.

Dr Maszlee berkata, kokurikulum baharu itu akan memastikan subjek yang diajar itu tidak membebankan pelajar dan juga guru.

Menurut beliau, selain dilengkapkan dengan kemahiran untuk pasaran kerja, pelajar turut didedahkan dengan kebolehan berfikir tahap tinggi dan antarabangsa.

Berhubung desas-desus rombakan Kabinet membabitkan namanya beliau menjelaskan, perkara itu hanya satu khabar angin bagi mengalihkan kes siasatan beberapa bekas anggota Kabinet sebelum ini.

Menurut Dr Maszlee, berita ditimbulkan itu adalah atas taktik pembangkan bertujuan untuk mengalihkan perhatian berhubung siasatan bekas beberapa pemimpin negara sebelum ini.

”Saya mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir baru-baru ini dan beliau meminta agar merombak kokurikulum pelajaran dan bukannya pasal Kabinet, takkan perkara yang memerlukan komitmen empat tahun, hendak rombak Kabinet pula,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Portal itu mendakwa selain Maszlee, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun adalah antara bakal digugurkan.

Sumber: Berita Harian
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »