Isu "murid terapung" akan diatasi - Maszlee

09:10:00
Imej via FB Rasmi KPM
KUALA LUMPUR: Isu ‘murid terapung’ iaitu tanpa bilik darjah tetap, tidak akan berlaku lagi susulan langkah membenarkan kemasukan pelajar tanpa dokumen ke sekolah.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kementerian dalam proses memastikan kemudahan dan prasarana sekolah yang menerima pelajar tanpa dokumen itu dibaik pulih dan ditingkatkan.

Katanya, era pentadbiran kerajaan baharu tidak akan membenarkan kes murid terapung berterusan.

“Kita akan pastikan murid berada dalam kelas masing-masing dan tidak ‘terapung’,” katanya menjawab soalan tambahan Ma’mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan) pada Sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ma’mun dalam soalannya ingin mengenai adakah kes ‘murid terapung’ masih berlaku berikutan langkah membenarkan kanak-kanak tanpa dokumen bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Maszlee berkata, kerajaan tidak akan mengabaikan mana-mana kumpulan murid sama ada yang mempunyai dokumen dan sebaliknya untuk mendapat pendidikan.

Katanya, sekolah daif yang menerima kemasukan pelajar tanpa dokumen ini akan dibaik pulih dan diberikan keutamaan supaya sesi pembelajaran berjalan dengan baik.

Menjawab soalan asal Ma’mun mengenai tindakan Kementerian Pendidikan sebagai persediaan kemasukan pelajar tiada dokumen ke sekolah mulai tahun depan, Maszlee berkata, langkah itu tidak menjejaskan peluang dan kemudahan persekolahan kepada pelajar sedia ada di seluruh negara.

“Kementerian bertanggungjawab menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi bagi menampung keperluan murid sekolah kerajaan.

“Kementerian akan memastikan prasarana sekolah di Sabah dan Sarawak serta di kawasan pedalaman tidak dipinggirkan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS PBB-Batang Sadong) mengenai guru diberi latihan urusan dokumen bagi mendapatkan kad pengenalan dan borang pengesahan persekolahan, beliau berkata, kementerian sedia memberi latihan sewajarnya bagi memudahkan urusan dokumentasi pelajar.
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »