Hapus peperiksaan, tumpu perkembangan insaniah murid

11:29:00
Imej via Google Images
Profesor Datin Dr. Mariani Md Nor
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Murid tahap satu sekolah rendah perlu dipupuk dengan aktiviti-aktiviti perkembangan insaniah bagi menguji keupayaan emosi, ketahanan mental dan fizikal, selari dengan pendekatan yang telah lama dilaksanakan di negara-negara maju.

Pakar psikologi dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, hal demikian ini kerana kanak-kanak pada usia enam hingga lapan tahun masih belum matang dan mereka tergolong dalam umur yang masih belum bersedia untuk diuji dalam peperiksaan.
Malah, platform insaniah juga akan mengajar kanak-kanak mengenai prinsip tolak ansur, kalah menang, keupayaan kawalan emosi sewaktu berada dalam keadaan sukar dan sebagainya.

“Seperti dahulu, kita tidak mahu lagi kanak-kanak di negara ini diajar seperti robot. Pemansuhan peperiksaan bagi murid di tahap satu sekolah rendah adalah sangat baik dengan syarat disediakan dengan aktiviti-aktiviti yang mencabar minda mereka.

“Sebagai contoh, Finland telah lama menghapuskan sistem peperiksaan yang digantikan dengan sistem penilaian lebih menyeluruh. Sistem yang dilaksanakan di negara itu telah berupaya melahirkan ramai modal insan yang cemerlang,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini semalam.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Twitter kelmarin mengenai pemansuhan peperiksaan tahap satu sekolah rendah meliputi murid tahun satu hingga tiga bermula tahun hadapan.

Langkah pemansuhan peperiksaan itu akan digantikan dengan sistem pentaksiran yang bersifat lebih objektif.

Tambah Mariani, aktiviti-aktiviti yang dijalankan kepada murid tahap satu perlu mencapai objektif mata pelajaran dan perlu dinilai berdasarkan keupayaan individu, kumpulan dan bilik darjah.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, memang sepatutnya pendidikan di peringkat awal sekolah rendah tidak terlalu ditekankan dengan peperiksaan.

Jelas beliau, hal demikian ini kerana murid-murid akan berasa kehidupan mereka seperti terlalu berteraskan peperiksaan dan masih muda untuk menghadapi tekanan.

Katanya, murid-murid sewajarnya merasakan suasana persekolahan yang seronok dan membangunkan keperibadian yang sejati, positif dan mesra sosial serta keluarga.

“Walaupun tidak diadakan peperiksaan, satu kaedah bercorak penilaian berterusan di peringkat sekolah untuk memastikan keupayaan murid-murid boleh membaca, menulis, mengira dan berfikir perlu dijalankan secara santai,” katanya.

Sumber- UTUSAN ONLINE

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »