DBP tandatangani MoU bersama Dong Zong

11:20:00
Imej via FB rasmi KPM
21 November 2018 - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, kegiatan bahasa dan sastera, penerbitan, penyelidikan dan penterjemahan.
Majlis disaksikan oleh YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Turut menyaksikan majlis bersejarah ini YBhg Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato' Mohd Gazali Abas dan YBhg Pengerusi Lembaga Pengarah DBP, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Bagi pihak DBP, MoU ditandatangani oleh YBhg Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan YBhg Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dato' Hajah Padilah Ali manakala Dong Zong diwakili oleh Pengerusinya, Encik Tan Tai Kim dan Timbalan beliau, Encik Tan Yew Sing.

Majlis menandatangani MoU ini diadakan sempena Forum Bahasa Jiwa dan Bangsa 2018, yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Dalam ucapannya, Dr Maszlee menyifatkan program ini, yang merupakan kerjasama DBP, Dong Zong dan Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN), sebagai satu langkah ke arah mewujudkan wacana ilmiah yang dapat mengubah persepsi masyarakat pelbagai kaum dalam usaha DBP meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia.

"Kita sedang mencipta sejarah," kata beliau.

Malah kata beliau, "sesungguhnya kerjasama sebegini amat saya harapkan secara berterusan agar bahasa Melayu menjadi milik bersama di negara Malaysia."

Beliau seterusnya memberitahu, "perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah bermakna menidakkan atau menafikan kepentingan bahasa ibunda kaum lain tetapi berteraskan Perlembagaan, bahasa Melayu merupakan bahasa penyatuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara, dan semangat Perlembagaan itu mestilah diterjemahkan oleh semua kaum dengan menggunakan bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi dalam segenap aspek."

YB Dr Maszlee juga menyarankan agar lebih ramai pihak mengadakan aktiviti dan program silang budaya antara sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama bagi mencorak pemikiran generasi masa depan.

Katanya, program seperti pertukaran murid dan guru, bermain sukan dan persembahan budaya secara bersama, mungkin penawar kepada masalah perhubungan antara kelompok masyarakat berbeza.

Dalam pada itu, Encik Tan Tai Kim berkata, pihaknya berharap kerjasama yang semakin erat ini akan menyokong pembelajaran bahasa Melayu dan mengenali kepentingan kepelbagaian budaya.

"Dan yang pentingnya, Dong Zong bersama DBP dan IPPN dapat menganjur bersama Forum Bahasa Jiwa Bangsa, satu jangkauan langkah yang besar bagi semua.

"Kami berharap kerjasama sebegini bukan saja dapat diteruskan, malah dipereratkan," kata beliau.

Facebook KPM

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »