Tak cukup 3M, perlu tambah lagi satu M - Menteri Pendidikan

19:38:00
Imej via FB KPM
SEJAK dulu, pendidikan negara kita berteraskan kepada 3M; menulis, membaca dan mengira.

Di pelbagai peringkat, 3M merupakan penilaian yang sangat penting. Di sekolah misalnya, murid mesti mampu menulis; menggabungkan suku kata dan memilih kata sendi yang sesuai sehingga membentuk satu ayat yang lengkap subjek dan predikatnya serta difahami.
Murid juga mesti mampu membaca; tahu menghasilkan bunyi ba dan ca. Begitu juga mengira; tahu tambah—tolak—darab—bahagi.

Sebenarnya sangat besar makna di sebalik kemahiran 3M ini. Kemampuan menulis ialah bukti kepada kemampuan menggabungkan konsep sebab dan akibat, lalu menghasilkan keputusan yang matang dan saksama. Seorang individu yang mampu menulis, ialah seorang individu yang mampu membuat keputusan yang baik.

Begitu juga membaca. Membaca ialah proses mendapat dan menghadam maklumat. Membaca ialah proses mentafsir makna, meluaskan horizon pandangan, dan sekaligus melahirkan kebolehan mengenalpasti masalah dan menyelesaikannya. Orang yang membaca ialah orang yang sentiasa berusaha menyelesaikan masalah, bukan orang yang lebih banyak menambahkan masalah.

Adapun mengira, ia kemahiran yang sangat penting. Mengira ialah proses menganalisa. Dalam bahasa Melayu, wujudnya perkataan berkira-kira yang membawa maksud kebolehan meneliti semua sudut sebelum bertindak.

Mereka yang boleh mengira bukan hanya mereka yang boleh menyelesaikan soalan peperiksaan Matematik Tambahan Tingkatan 6, sebaliknya mereka yang juga boleh membuat tindakan yang tepat, berhati-hati, dan menyeluruh.

Ibu bapa dan guru tidak boleh bermudah-mudah dalam mengajarkan kemahiran 3M ini. Lahirnya individu cemerlang bermula daripada proses pengajaran dan pembelajaran berteraskan 3M. Pastikan anak-anak didik kita memahami kepentingan dan peranan 3M ini supaya mereka tak bosan dan terus berusaha memperolehinya.

M—manusiawi

Namun, tanpa mengetepikan kepentingan 3M ini, saya melihat perlunya menambah lagi satu M, iaitu manusiawi. Manusiawi bererti pendidikan memanusiakan manusia.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, manusiawi bererti manusia yang bersifat kemanusiaan dan mempunyai ciri-ciri hidup yang lebih mulia.

Istilah manusiawi ini sangat jagat dan mempunyai taksa makna yang mendalam. Menariknya, ia istilah bahasa Melayu yang mempunyai hubungan dengan istilah-istilah dalam bahasa lain, khususnya bahasa Arab.

Perbahasan tentang manusiawi sangat dekat dengan perbahasan tentang makna insan. Tuntasnya, seorang manusia yang manusiawi dan insani ialah seorang manusia yang mempunyai peribadi yang mulia.

Dalam pendidikan Malaysia Baru, kita mahu melahirkan murid yang mempunyai 4M, dan M yang satu lagi ialah manusiawi. Kita mahukan murid bukan hanya boleh menulis, membaca dan mengira, tetapi juga yang belajar menjadi manusia, yang tahu menghormati manusia lain, dan yang mempunyai akhlak yang baik dan terpuji.

Justeru, saya sangat berharap dua ‘institusi’ besar yang perlu memainkan peranan penting untuk melahirkan murid yang manusiawi ini, iaitu ibu bapa dan guru, untuk tidak mengabaikan M ini supaya kita dapat melahirkan insan yang berperibadi unggul di masa hadapan nanti.

***Dr. Maszlee Malik merupakan Menteri Pendidikan

Sumber: Sinar Harian

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »