Staf sokongan tidak akan dibebani tugas tambahan

16:59:00
Staf sokongan tidak akan dibebankan dengan pertambahan kerja perkeranian apabila guru dikecualikan daripada tugas berkenaan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak berkata pengecualian tugas perkeranian itu bukan bermaksud tugasas berkenaan akan diserahkan kepada staf sokongan.
Sebaliknya, katanya, kementerian akan mencari jalan untuk mengurangkan kewujudan kerja berkneaan supaya guru tidak terbeban dengan tugasan yang tiada kaitan dengan pengajaran.

"Kami juga tidak mahu kerja perkeranian ini diserahkan kepada kerani, sebaliknya berharap perkara yang tidak perlu seperti pengisian dan pendokumentasian borang tertentu dikurangkan.

Dalam kajian

"Saya dimaklumkan Kementerian Pendidikan sedang menjalankan kajian untuk mengurangkan perkara ini, tetapi buat masa ini belum ada penyelesaian," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dilaporkan berkata, kementerian sedang mengkaji cara untuk meringankan beban guru yang akan dibentangkan kepadanya selewat-lewatnya Disember depan.

Antara tugas perkeranian yang membebankan guru ialah memasukkan pelbagai data untuk Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, mengemas kini data kehadiran dan disiplin murid, mengendali kutipan yuran dan menyediakan surat dan minit mesyuarat.

Cadangan itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan staf sokongan seperti kerani akan dibebani dengan tugas berkenaan.

Kamarozaman berkata, pertambahan staf sokongan di sekolah yang mempunyai lebih 2,00 pelajar diakui antara langkah yang mampu mengurangkan beban guru, namun ia sukar dilaksanakan ketika ini berikutan kekangan kewangan dihadapi kerjaaan.

"Kami pernah cadangkan supaya sekolah tertentu ditambah pembantu guru Gred N19, tetapi tidak dipersetujui kementerian kerana membabitkan implikasi kewangan yang banyak.

Kemuka cadangan kedua

"Sebab itu kami kemukakan cadangan kedua iaitu kurangkan perkara tidak perlu kepada sekolah bagi menghasilkan situasi menang-menang, iaitu kementerian tidak perlu tambah kerani, manakala beban guru pula berkurang dan boleh fokus pada pengajaran," katanya.

Di Jerantut, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik, berkata cadangan itu dapat membantu guru lebih fokus ke atas tugas hakiki mengajar dalam kelas.

Sehubungan itu, beliau berharap isu berkenaan yang sudah lama menghantui guru dapat dilaksanakan.

Selain itu, katanya, takrifan kerja perkeranian oleh guru juga perlu diperincikan untuk membezakan apa yang sepatutnya perlu dilakukan oleh guru.

Sumber: Berita Harian

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »