Semakan gaji, elaun penjawat awam akan dibuat secara berhati-hati

19:37:00
Imej via Google Image
KUALA LUMPUR: Kira-kira 76 peratus atau 866,270 daripada 1.1 juta kakitangan awam dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima gaji kurang RM5,000 sebulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Akauntan Negara sehingga 30 Jun lalu, jumlah itu membabitkan pegawai kerajaan yang termasuk dalam kumpulan pegawai gred 44 dan ke bawah.

“Bagaimanapun, jika mengambil kira imbuhan tetap dan elaun bulanan yang diperuntukkan kepada kumpulan terbabit, jumlah itu menurun kepada 742,561 orang atau 65 peratus.

“Bagi menjaga kebajikan penjawat awam, kerajaan sentiasa membuat kajian semakan elaun dan gaji penjawat awam berdasarkan prinsip ditentukan dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Vui Keong berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Mansor Othman (PH-PKR-Nibong Tebal) yang dikemukakan pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu.

Sementara itu, Vui Keong berkata, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam membuat kajian dan semakan gaji, elaun dan imbuhan penjawat awam dengan mengambil kira implikasi perbelanjaan mengurus serta kedudukan kewangan negara.

Katanya, struktur gaji Perkhidmatan Awam yang digunakan pada masa ini berpandukan Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JGMM).

“Penetapan struktur gaji minimum-maksimum bagi anggota sektor awam berasaskan konsep gaji yang berpatutan untuk menyara keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan perumahan.

“Gaji yang ditentukan adalah berdasarkan prinsip kadar upahan untuk kerja, kelayakan masuk dan latihan, relativiti dan pariti,” katanya.

Sumber: Berita Harian
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »