Kokurikulum belajar renang bermula tahun 2019 - Maszlee

18:52:00
Imej via FB Dr Maszlee Malik
KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan kegiatan kokurikulum belajar berenang bakal diajar kepada murid sekolah dalam usaha Kementerian Pendidikan mempersiapkan mereka dengan kemahiran itu, sekali gus menangani insiden lemas.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, buat permulaan kegiatan itu akan diajar kepada sekolah yang berhampiran dengan kemudahan kolam renang awam.

Katanya, bagi menjayakan inisiatif itu, kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelaraskan perkara itu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pendidikan Negeri.
“Buat permulaan, pengajaran renang ini akan diadakan secara berperingkat untuk murid di sekolah yang berdekatan dengan kolam renang awam.

“Kita dapati banyak kemudahan kolam renang awam di seluruh negara tidak digunakan secara optimum. Jadi, kita kita akan bincang bagi menyelaraskan perkara itu dengan JPN dan PBT.

“Harapan kita pada akhirnya pengajaran renang ini akan diperluas ke semua sekolah sebab hasrat kita ialah untuk mengelak kes lemas kalangan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K: Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Kokurikulum renang itu adalah antara empat ‘hadiah’ atau berita gembira diumumkan Maszlee untuk pendidikan tahun depan.

Katanya, langkah lain yang akan dilakukan kementeriannya adalah memastikan semua sekolah yang dibina selamat digunakan dan mesti dapat sijil kelayakan menduduki bangunan (CFO) atau Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki (CF); memastikan tiada keciciran pelajar dan menggalakkan guru mengutamakan keceriaan kelas selain pengajaran serta mengurangkan beban beg sekolah murid.

“Saya sudah arahkan Ketua Pengarah Pendidikan untuk memastikan sekolah menjadi tempat paling selamat untuk murid belajar dan bermain.

“Ini kerana saya difahamkan banyak sekolah dibina tapi tiada CF dan CCC, hal ini tidak boleh dikompromikan.

“Mengenai isu beg sekolah, kementerian komited mengenainya dan pegawai saya akan menjalankan kajian terperinci cara meringankan berat beg sekolah menjelang tahun depan. Kita tidak mahu mereka jadi seperti pramugari bawa beg berat dan besar

“Kita juga mahu guru gembira dengan meringankan beban mereka iaitu tidak perlu lagi melakukan tugas kerani tahun depan, sebaliknya menumpukan kepada pengajaran murid di dalam kelas supaya cemerlang,” katanya.

Maszlee yang membahasakan dirinya sebagai ‘Pak Cik Maslee’ ketika berucap, berkata pihak kementerian juga akan memastikan penerapan nilai murni dilaksanakan di sekolah setiap dua minggu.

Katanya, langkah itu penting bagi penerapan nilai kalangan pelajar supaya mereka bukan saja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai moral yang tinggi seperti amanah, jujur dan bercakap benar.

Dalam pada itu, kata beliau, kementerian juga akan memastikan bahan pendidikan diperbanyakkan dan diviralkan dalam media sosial untuk dimanfaat oleh guru serta ibu bapa bagi mengajar anak-anak.

“Saya juga mahu minta pihak Majlis Agama Islam, Pusat zakat dan Baitulmal menyumbang buku bacaan kepada asnaf termasuk asnaf bukan Islam selain memberi bantuan kewangan dan makanan kepada mereka.

“Mereka juga disaran mewujudkan perpustakaan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kuarters polis, bomba dan tentera untuk menggalak budaya membaca.

“Kebanyakan kakitangan awam di kuarters ini berpendapatan rendah dan mungkin tidak mampu menyediakan bahan bacaan untuk anak mereka, jadi dengan adanya perpustakaan awam akan membantu,” katanya.

Sumber: Berita Harian
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »