#myClassroomLive@Mydin 2018 dekatkan masyarakat dengan bilik darjah

13:37:00
IPOH 10 Okt. – Jabatan Pendidikan Perak buat julung kalinya bakal membawa pendidikan di kelas ke pusat beli-belah Mydin Meru Raya di sini dalam usaha memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai usaha yang diambil bagi membentuk kemenjadian murid.

Dinamakan sebagai #myClassroomLive@Mydin 2018, inisiatif oleh Sektor Pengurusan Akademik itu antara lain bertujuan memasyarakatkan apa yang berlaku di kelas.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan negeri, Rahimah Mohamed berkata, melalui penganjuran program tersebut, ia boleh membuka mata ibu bapa bagi melihat sekiranya anak mereka berminat menjurus kepada subjek berorientasikan kemahiran.

“Jadi, pada 13 Oktober ini di Mydin Meru Raya, kita akan tunjukkan di sekolah juga sebenarnya ada manicure, buat biskut dan rekaan fesyen. Kita juga cuba tonjolkan murid prasekolah di situ.

“Selalunya akademik ini tidak dilihat kerana ibu bapa tidak datang ke kelas. Jadi, kami ingin bawanya kepada masyarakat supaya mereka faham mengenai pengorbanan guru dan sekolah dalam membentuk kemenjadian murid yang telah banyak dilaksanakan,” katanya selepas perasmian Program Kecemerlangan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2018 melibatkan 360 pelajar dari 18 sekolah dalam Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam (Intim), di sini hari ini.
Program anjuran Yayasan Perak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Perak itu merupakan nilai tambah bagi membantu pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM khususnya bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
ZAINOL FADZI PAHARUDIN (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil sekolah sambil diperhatikan Rahimah Mohamed (kiri) dalam Program Kecemerlangan Sijil Peperiksaan Malaysia 2018 di Ipoh, Perak, semalam. Utusan/Kamal Basir Wahab
Majlis disempurnakan Penasihat Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Dalam perkembangan ber­lainan, Rahimah berkata, pihaknya berhasrat untuk mengekalkan rekod cemerlang SPM 2017 yang mencatatkan pencapaian terbaik negeri ini dalam tempoh 10 tahun.

“Jabatan Pendidikan Perak tidak hanya memfokuskan kepada bilangan A sahaja, tetapi semua pelajar boleh menguasai tahap yang sepatutnya dikuasai apabila berada di tingkatan lima,” katanya.

Sumber : Utusan

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »