Guru Sains perlu ubah cara pengajaran - Sheik Muszaphar

16:27:00

SHAH ALAM - Guru-guru subjek Sains di negara ini perlu lebih kreatif dan inovatif menyampaikan ilmu kepada pelajar di dalam kelas.

Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berkata sebahagian guru Sains di negara ini menggunakan kaedah yang membosankan pelajar.
“Kita nak Malaysia lahirkan lagi ramai doktor, saintis dan jurutera. Jadi saya berharap kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan harus mengubah sistem pendidikan mereka agar tidak terlalu ‘exam oriented’.

“Guru-guru Sains juga harus memainkan peranan yang penting. Saya merasakan guru-guru Sains ini...bukan semua tapi agak bosan apabila mereka mengajar Sains.

“Saya sendiri tidak minat Sains ketika di sekolah menengah. Mereka harus lebih kreatif dan inovatif dalam mengajar supaya pelajar-pelajar juga begitu berminat dalam Sains,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, guru-guru di Malaysia perlu mencontohi kaedah mengajar di luar negara.

“Bukan semua cikgu Sains mengajar membosankan tapi kebanyakan mereka menggunakan cara lama untuk mengajar.

“Kita harus mengikut sistem-sistem seperti di Norway dan Eropah kerana mereka mengajar Sains di luar sekolah atau bilik darjah. Jadi minat itu sentiasa ada.

“Sebab apabila saya pergi ke sekolah mereka minat terhadap Sains tapi apabila sampai ke peringkat sekolah menengah, segala minat itu tersasar atau mereka sudah tidak minat lagi,” katanya.

Tegasnya, pihak berkaitan perlu menjalankan kajian punca situasi perubahan minat itu berlaku.

“Kita kena buat kajian kenapa minat pelajar kita bertukar daripada zaman sekolah rendah ke sekolah menengah ini.

“Mula-mula mereka terlalu minat tapi lama-lama makin berkurangan. Jadi banyak kajian yang harus dilakukan oleh pihak berkaitan bagi mengatasi perkara ini,” katanya.

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »