Dua tonggak dikaji sebelum iktiraf UEC - Menteri Pendidikan

21:10:00
Imej via FB Dr Maszlee Malik
KUALA LUMPUR: Memartabatkan Bahasa Melayu dan pengukuhan perpaduan serta keharmonian antara kaum adalah dua tonggak diberi keutamaan dalam menjalankan kajian berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata dua aspek itu penting bagi memastikan pengiktirafan UEC tidak dipolitikkan dan keputusan kerajaan dibuat berdasarkan pertimbangan rasional.
“Kajian holistik berhubung isu UEC mempunyai dua komponen iaitu kajian dalaman oleh kementerian dan proses pengumpulan maklumat serta input daripada pelbagai sumber menerusi pasukan khas yang terbabit dengan EUC.

“Pasukan khas ini diketuai anak kepada (tokoh akademik) Prof Dr Khoo Kay Kim, Dr Eddin Khoo, dan dibantu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim serta Timbalan Presiden Dong Zhong, Tan Yew Sing.

“Mereka akan mengumpulkan maklumat, pandangan dan proses libat urus dengan pihak yang pro serta kritikal terhadap UEC,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-UMNO Padang Terap) yang mahu kerajaan menyatakan perkembangan terkini kajian holistik berkaitan pengiktirafan UEC.

Maszlee berkata, kajian itu penting kerana pengumpulan fakta perlu dibuat secara rasional dan tidak prejudis.

“Sebarang keputusan untuk mengiktiraf UEC bukan saja dibuat berdasarkan kajian menyeluruh, malah didahului dengan perbincangan sihat di ruang awam menerusi fakta dikumpulkan secara objektif, rasional, bebas dan lengkap.

“Ini penting supaya tiada pihak tidak bertanggungjawab boleh mengambil kesempatan mempolitikkan isu pendidikan dan masa depan anak bangsa dengan maklumat tidak tepat dan rekaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »