Cuti sekolah berperingkat di Malaysia tidak sesuai - Pengusaha Pelancongan

07:55:00
Imej via Reuters
LANGKAWI: Pengusaha industri pelancongan Langkawi memberi sambutan dingin terhadap cadangan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan supaya cuti sekolah dibuat secara berperingkat antara negeri untuk mengurangkan kesesakan di tempat tumpuan pelancongan.

Timbalan Presiden Persatuan NiagaKawi Datuk Alexander Isaac berkata cadangan itu tidak sesuai untuk dilaksanakan kerana ia akan menjejaskan rancangan keluarga atau saudara-mara yang tinggal di negeri berlainan untuk menghabiskan percutian bersama-sama.

“Sistem (cuti sekolah) sekarang agak baik. Malah, Thailand pernah cuba cuti sekolah secara berperingkat suatu ketika dahulu dan ia gagal,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Zainudin Kadir juga tidak bersetuju dengan cadangan itu, dengan berkata sistem cuti persekolahan sekarang tidak harus dipersalahkan bagi kesesakan di kawasan pelancongan.
“Langkawi sebagai destinasi pelancongan tidak pernah mengalami keadaan penuh sesak selama ini dan sekiranya ada berlaku kesesakan di sana sini, ia berlaku disebabkan kegagalan pengangkutan atau sistem infrastruktur yang tidak dijangka,” katanya.

Zainudin berkata kawasan tumpuan pelancongan di Malaysia masih belum mencapai tahap yang dinikmati seperti di Phuket, Thailand; atau di Bali, Indonesia; yang menyaksikan kemasukan pelancong yang konsisten sepanjang tahun.

“Bagi pemain industri pelancongan Langkawi, tempoh kerja sebenar mereka hanya sekitar 6 bulan dalam tempoh setahun dan cuti sekolah berperingkat akan menjejaskan kemampanan perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi Ahmad Phisol Ishak berkata cadangan cuti sekolah secara berperingkat tidak harus dilaksanakan sebagai penyelesaian untuk semua.

Beliau berkata kesesakan di tempat pelancongan bukan masalah sebenar yang dihadapi industri, yang masih berusaha menarik lebih ramai pelancong sama ada dalam atau luar negara.

“Apa yang dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat mungkin tidak sesuai dilaksanakan di negara kita dan saya percaya kawasan pelancongan kita masih mempunyai kapasiti yang cukup untuk mengendalikan kunjungan orang ramai dalam jumlah yang besar,” kata Ahmad Phisol.

Sumber: Free Malaysia Today

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »