Zaman penjawat awam turuti arahan membuta tuli sudah berlalu

15:35:00
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Ismail Bakar hari ini mengisytiharkan bahawa zaman di mana penjawat awam perlu menuruti arahan membuta tuli telah berlalu.
Dalam berkata demikian, beliau juga menggesa kakitangan awam untuk mengutamakan doktrin pemisahan kuasa.

“Dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, dan bukan hanya menjadi seorang pengikut.

“Zaman di mana penjawat awam perlu menuruti arahan membuta tuli telah berlalu.

“Pemisahan kuasa di antara badan pemerintah (executive), perundangan (legislative) dan kehakiman (judiciary) perlu diutamakan dalam memastikan integriti perkhidmatan awam tidak dipertikaikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail berkata, sebagai institusi tulang belakang negara, penjawat awam harus berani bertindak untuk terus mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti, integriti, tadbir urus, ketelusan dan etika dalam pelaksanaan tugas.

Katanya, perkhidmatan awam sebagai institusi pelaksana harus sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyantuni rakyat.

Namun, beliau berkata kebelakangan ini, imej perkhidmatan awam agak sedikit tercalar akibat terkait dengan isu integriti dan tadbir urus di kalangan penjawat awam.

“Segala pendekatan baharu ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kita semua masih dibuai mimpi lama,” katanya.

Ismail walau bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan mimpi lama itu tetapi menggesa penjawat awam untuk “maju sederap dalam memberi khidmat terbaik kepada nusa dan bangsa” dalam era “Malaysia baru.”

Ismail, adalah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, dan dilantik sebagai KSN baru bagi mengambil alih daripada Tan Sri Ali Hamsa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan surat pelantikannya pada 28 Ogos.

Kontrak perkhidmatan Ali sebagai KSN berakhir pada hari yang sama dan tidak diperbaharui. Beliau telah berkhidmat lebih enam tahun.

Berikut kenyataan penuh Ismail:

Antara ikrar utama saya ketika menerima lantikan sebagai Ketua Setiausaha Negara seminggu yang lalu adalah untuk melaksanakan reformasi ke arah mensejahterakan perkhidmatan awam dan rakyat amnya.

Kebelakangan ini, imej perkhidmatan awam agak sedikit tercalar akibat terkait dengan isu integriti dan tadbir urus di kalangan penjawat awam. Sebagai institusi tulang belakang Negara, kita harus berani bertindak untuk terus mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti, integriti, tadbir urus, ketelusan dan etika dalam pelaksanaan tugas.

Perkhidmatan awam sebagai institusi pelaksana harus sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyantuni Rakyat. Jurang di antara perkhidmatan awam dan Rakyat perlu ditutup supaya perasaan pemilikan (sense of ownership) dapat diresapi oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam memberi khidmat terbaik kepada Negara, kita sebagai penjawat awam perlu sentiasa bersedia melaksanakan perubahan dalam mengharungi segala bentuk halangan yang dihadapi. Penekanan juga harus diberi dalam aspek pengurusan kos yang lebih cekap dan berkesan bagi memastikan dana awam tidak disia-siakan.
Dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, dan bukan hanya menjadi seorang pengikut. Zaman di mana penjawat awam perlu menuruti arahan membuta tuli telah berlalu.

Pemisahan kuasa di antara badan pemerintah (executive), perundangan (legislative) dan kehakiman (judiciary) perlu diutamakan dalam memastikan integriti perkhidmatan awam tidak dipertikaikan.

Segala pendekatan baharu ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kita semua masih dibuai mimpi lama. Dalam masa yang terhad ini, penjawat awam perlu bertindak dengan pantas dalam tugasan berlandaskan kepada prinsip bersih, cekap dan amanah.

Ketika kita semua melangkah ke era Malaysia baharu, perkhidmatan awam juga harus tekad untuk maju sederap dalam memberi khidmat terbaik kepada nusa dan bangsa.

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »