KPM hanya isi graduan IPG punca graduan Universiti Awam menganggur

06:50:00
Wan Sumaiyah via Utusan
KUALA LUMPUR 26 Sept. – Graduan ijazah sarjana muda pendidikan awal kanak-kanak kini berdepan ‘dilema’ berikutan tiada sebarang temuduga daripada Kementerian Pendidikan sejak enam tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan 550 graduan berkenaan terma­suk 550 orang lagi yang masih melanjutkan pengajian mengalami masalah mencari pekerjaan selaras dengan kelulusan mereka.

Wakil Gerakan Gra­duan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), Wan Sumaiyah Wan Shukri mendedahkan, perkara itu berlaku berikutan wujud ketetapan kekoso­ngan guru pendidikan awal kanak-kanak di sekolah rendah ­hanya boleh diisi oleh graduan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Sementara itu, jelas beliau, di sekolah menengah dan kolej vokasional pula terdapat kecenderungan kekosongan diberikan kepada pemegang ijazah sarjana muda ekonomi rumah tangga.

Menambah beban graduan terbabit, Wan Sumaiyah mendakwa, sebahagian besar pengusaha sektor pendidikan awal kanak-kanak kini lebih senang mengambil pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma bekerja walaupun di luar bidang pengetahuan dengan alasan gaji mereka lebih murah.

“Berdasarkan data yang kami kumpul dari 2012 hingga Jun 2018, seramai 550 gradu­an ijazah sarjana muda pendidikan awal kanak-kanak telah menamatkan pengajian dan tidak pernah dipanggil untuk menjalani sebarang temuduga oleh kementerian.

“Seramai 350 graduan berkenaan menamatkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) manakala 200 lagi dari Universiti Malaya (UM). Setiap tahun antara 80 hingga 100 orang pelajar baharu akan mengikuti jurusan berkenaan di dua universiti terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Wan Sumaiyah berkata, ramai dalam kalangan graduan terbabit meluahkan rasa kecewa serta tidak menyangka boleh menjadi sebegitu selepas empat tahun berhempas-pulas menamatkan pengajian.

Dalam pada itu, beliau melihat pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di setiap kementerian memberi sinar harapan kepada graduan pendidikan awal kanak-kanak ditempatkan di sana.

“Kami sedang sediakan kertas kerja berhubung usaha ini dan kami berharap dapat bertemu Timbalan Perdana Menteri bagi memberi penerangan lanjut sekali gus memperjuangkan nasib rakan-rakan ini,” katanya.

Sumber : Utusan Online
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »