Kerajaan PH tiada hasrat mansuh sekolah pelbagai aliran - Timb. Menteri

06:56:00
Imej via Roketkini.com
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berhasrat untuk memansuhkan sekolah-sekolah pelbagai aliran di negara ini yang dilihat sebagai keistimewaan dan kekuatan negara yang seharusnya dikekalkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kerajaan melihat selain murid-murid di sekolah rendah dapat menguasai ilmu, penting juga buat mereka untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.
“Saya rasa setakat ini kerajaan PH tidak berhasrat untuk mememansuhkan sekolah-sekolah pelbagai aliran kerana kepelbagaian tersebut adalah kekayaan, keistimewaan dan kekuatan bagi Malaysia.

“Paling penting juga murid-murid di sekolah rendah ini dapat belajar bahasa ibunda masing-masing selain menguasai ilmu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Prof. Emeritus Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Ibrahim Shah bertanyakan sama ada Kementerian Pendidikan mempunyai kaedah bagi memastikan murid-murid dari sekolah pelbagai aliran di negara ini dapat berinteraksi antara satu sama lain.

Jelas Nie Ching lagi, kementerian mempunyai kaedah bagi menggalakkan murid-murid dari sekolah pelbagai aliran ini dapat menjalankan aktiviti bersama-sama antaranya menerusi pelaksanaan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

“Menerusi program RIMUP yang dijalankan di peringkat daerah ini, murid-murid dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) digabungkan untuk menjalankan aktiviti bersama.

“Selain itu, kementerian juga sentiasa menjalankan aktiviti aktiviti sukan dan akademik yang sentiasa melibatkan murid-murid pelbagai aliran sekali gus sebagai ruang buat mereka untuk berinteraksi antara satu sama lain,” katanya.

Sumber - UTUSAN ONLINE

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »