Kerajaan diingatkan janji Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah Sarawak

15:54:00

Seorang ADUN DAP Sarawak telah mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan bahawa ia telah menjanjikan pilihan bahasa pengantar bebas di sekolah-sekolah di negeri itu.

Ini berikutan pendirian kerajaan bahawa ia menyalahi undang-undang untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan.

Dalam satu kenyataan semalam, ADUN Bukit Assek, Irene Mary Chang Oi Ling berkata janji pilihan bahasa pengantar itu dinyatakan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan Sarawak, jadi, tegasnya, kenyataan Kementerian Pendidikan tentang ini adalah mengecewakan.

"Kementerian diingatkan bahawa dalam manifesto pilihan raya PRU13 Sarawak, Pakatan Harapan menjanjikan bahawa jika ia membentuk kerajaan, ibu bapa di Sarawak diberi kebebasan pilihan untuk anak-anak mereka dididik dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau Mandarin di sekolah yang menawarkan pilihan bahasa ini sebagai bahasa pengantar.

Oleh itu, kata Chang, kementerian itu sekarang tidak harus menidakkan kata-katanya tetapi perlu mencari cara untuk menunaikan janji kepada rakyat Sarawak.

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam, Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa ia tidak bersetuju dengan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran di sekolah kebangsaan, termasuk di Sarawak.

Ini kerana ia melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, kata kementerian itu, dan melanggar semangat Akta Pelajaran 1996.
Bagaimanapun, Chang (gambar) berkata HARAPAN Sarawak telah memasukkan janji itu dalam manifesto kerana terdapat sentimen tempatan yang kuat untuk membawa bahasa Inggeris kembali sebagai bahawa pengantar di sekolah.

"Ini, sebahagiannya, disebabkan pengiktirafan bahawa di bawah Perjanjian Malaysia 1963, bahasa Inggeris mestilah menjadi bahasa rasmi untuk semua tujuan, negeri atau persekutuan, tanpa batasan masa.

"Ini dikandung dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Artikel 161 memperuntukkan penggunaan bahasa Inggeris terus menerus di dewan undangan negeri dan mahkamah undang-undang di Sarawak," katanya.

Oleh itu, katanya, kemahiran bahasa Inggeris masih diperlukan dalam mahkamah dan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Setakat ini, Chang berkata, usaha yang dilakukan oleh kementerian untuk meningkatkan taraf bahasa Inggeris, termasuk menggunakannya sebagai medium pengajaran bagi subjek Sains dan Matematik, telah gagal.

"Akibat dari kegagalan masa lalu ini, kita mempunyai banyak graduan yang menganggur yang mendapati kesukaran dalam membuat ayat-ayat yang betul dalam bahasa Inggeris.
"Oleh itu, masa untuk kementerian untuk menjadi lebih menyeluruh dan holistik dalam pendekatannya, terutama di Sarawak di mana kemahiran bahasa Inggeris masih diperlukan di mahkamah undang-undang dan Dewan Undangan Negeri."

Chang menambah bahawa usaha untuk mengatasi kekurangan kemampuan berbahasa Inggeris tidak sepatutnya dilihat sebagai langkah untuk menolak kedudukan Bahasa Malaysia atau melemahkan Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, belajar bahasa Inggeris akan membantu rakyat Malaysia menjadi relevan secara global, katanya.

Sumber : Malaysiakini

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »