Keputusan UPSR bukan penentu masa depan murid

11:56:00
PULAU PINANG 24 Sept. - Keputusan akademik termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cemerlang bukanlah faktor penentu dalam usaha menjadikan seseorang murid itu lebih berdaya saing pada masa depan.

Sebaliknya, Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Jamil Mohamed berkata, beberapa faktor lain termasuk kemahiran yang dimiliki oleh mereka juga memainkan peranan yang penting dalam hal ini.
Justeru beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha menggilap pelbagai kemahiran lain dalam kalangan murid tersebut agar matlamat berkenaan dapat dicapai.

"Ini termasuk kemahiran berkomunikasi, kemahiran kepimpinan, kemahiran bahasa selain Bahasa Melayu serta kemahiran berkolaborasi dengan rakan sebaya, guru, ibu bapa dan masyarakat," katanya.

Baca juga: Fahami Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR)

Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan tinjauan sempena UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor di sini, hari ini.

Seramai 136 calon termasuk seorang calon 'menumpang' menduduki peperiksaan tersebut di sekolah itu hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, secara keseluruhannya, seramai 21,209 calon menduduki UPSR di 285 pusat peperiksaan di negeri ini bermula pada 20 September lalu hingga Khamis ini.

Daripada jumlah itu katanya, 280 berdaftar sebagai calon swasta di lapan buah pusat peperiksaan.

"Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) memiliki jumlah calon tertinggi iaitu seramai 5,436 orang manakala daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pula memiliki jumlah calon terendah iaitu hanya seramai 2,781 orang.

"Sementara itu, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pula merekodkan seramai 5,241 calon manakala dua lagi daerah iaitu Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya pula masing-masing merekodkan jumlah calon seramai 4,923 dan 2,828 orang," kata Mohd. Jamil.

Tambahnya, jumlah petugas termasuk pengemas bilik juga mencukupi apabila seramai 2,171 orang ditempatkan di kesemua pusat peperiksaan yang ditetapkan.

Sumber - Utusan Online

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »