JPN buat ketetapan daftar nama anak baru lahir tidak lebih 80 abjad

06:54:00
KANGAR 28 Sept. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak mereka dengan nama terlalu panjang selain memberikan nama yang membawa maksud tidak baik.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Jasri Kasim berkata, untuk itu, pihaknya telah menetapkan nama yang ingin didaftarkan untuk anak-anak tidak melebihi 80 aksara atau huruf.
Katanya, setakat ini, nama paling panjang yang direkodkan oleh pihaknya ialah melibatkan penggunaan 78 aksara.

“Kita mengakui trend ibu bapa hari ini memberi nama yang panjang kepada anak-anak. Kita sentiasa memberi panduan dalam soal ini dan juga tidak menggalakkan pemohon memberi nama yang membawa maksud tidak baik.

“Pada masa ini, kita tetapkan nama pemohon termasuk nama bapa tidak melebihi 80 aksara. Kadang-kala kasihan kepada anak-anak yang nama panjang, setiap kali peperiksaan, orang lain sudah menjawab beberapa soalan, kita masih belum habis menulis nama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Kembara Mobile JPN 2018 peringkat negeri ini di Kampung Behor Masjid dan Kampung Bumbung Lima, Arau, di sini hari ini.

Pada program tersebut, JPN menyerahkan sijil kewarganegaraan kepada seorang wanita, Munirah Tehpooyoo selepas dia memenuhi syarat menjadi warga negara ini selain membantu seorang warga emas memperbaharui kad pengenalan.

Sementara itu, mengulas mengenai program Kembara Mobile JPN, Jasri berkata, program tersebut yang dilancarkan awal bulan lalu akan menjelajah seluruh negara.

“Program ini memberi tumpuan khususnya kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan mereka yang terlantar berurusan, dengan JPN sendiri yang akan mengunjungi rumah golongan berkenaan,” katanya.

Sumber- UTUSAN ONLINE

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »