Jangan pandang rendah stres guru luar bandar

15:08:00
KUCHING: Isu guru stres tidak seharusnya dilihat sebagai masalah terpencil, malah penyelesaian segera perlu dicari sebelum membarah sehingga menjejaskan sistem pendidikan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie, berkata pendedahan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, di Dewan Negara 28 Ogos lalu, bahawa 4.4 peratus dalam kalangan guru mengalami masalah stres disifatkan sebagai ‘amaran awal’.

“Walaupun peratusan berkenaan kecil dan belum memperlihatkan keseriusan isu, KGBS menegaskan supaya pihak kementerian tidak memandang masalah stres sekadar sambil lewa sahaja.

“KGBS tidak mempunyai data khusus jumlah guru mengalami stres di Sarawak, tetapi KGBS tidak mampu menafikan kemungkinan dalam jumlah 4.4 peratus itu ia termasuk juga guru daripada negeri ini,” katanya kepada NSTP, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Maszlee berkenaan kajian stres tahap sederhana tinggi di Dewan Negara di mana gejala stres dalam kalangan guru berpunca daripada pelbagai faktor antaranya isu keluarga, kewangan, pentadbiran, beban tugas, tidak dapat penghargaan dan kekurangan kemahiran.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata stres dalam kalangan guru boleh menular jika tiada langkah penyelesaian dilaksanakan secara cekap.

“Justeru, KGBS menyarankan pihak kementerian mengadakan pleno meja bulat bersama kesatuan guru dalam kadar segera sebagai usaha membincang dan menangani isu stres secara holistik dan komprehensif demi kebaikan guru seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan Persatuan Guru Sarawak dan Sabah, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat di Miri awal minggu depan bagi membincangkan masalah kritikal membabitkan sektor pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan.

“KGBS bercadang mahu mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Pendidikan dengan membawa bersama wakil guru dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sumber - Berita Harian Online

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »