Guru mengaku salah seleweng RM11,550 wang KWAPM

23:57:00
Gambar hiasan via Utusan Online
Seorang guru mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas 48 pertuduhan melakukan pecah amanah dan memalsukan dokumen Borang Akuan Penerimaan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin 2013 berjumlah RM11,550, lima tahun lepas.
Tertuduh Mohamad Romzi Zahari, 46, membuat perakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Bagi 24 pertuduhan membabitkan pecah amanah, ​​​​​​tertuduh yang juga ejen iaitu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik, diamanahkan penguasaan ke atas wang tunai RM349,650, iaitu peruntukan bantuan bagi sekolah terbabit.

Dia didakwa dengan curangnya telah mengambil wang antara RM450 dan RM600 iaitu sebahagian daripada wang peruntukan terbabit yang sepatutnya diserahkan kepada 24 murid sekolah itu, dengan jumlah keseluruhan RM11,550.

Tertuduh juga didakwa atas 24 pertuduhan iaitu memalsukan borang tersebut atas nama 24 murid sama dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Kesemua kesalahan dilakukan di Pejabat Sekolah Kebangsaan RPS Kemar dekat Gerik di Ipoh, antara Julai hingga September 2013.

Bagi kesalahan melakukan pecah amanah, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan memalsukan dokumen pula, tertuduh didakwa menerusi Seksyen 468 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Musa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin adalah daripada anggota keluarga terdekat dan menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes.

- Bernama

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »