Graduan prasekolah, kelulusan ijazah, gaji SPM

16:50:00
Imej hiasan via Majalah Pendidik
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) yang tidak pernah mendapat panggilan temuduga sejak enam tahun lalu terpaksa mencuba apa sahaja pekerjaan demi menampung hidup.

Walaupun mempunyai kelulusan tahap ijazah sarjana muda dan terpaksa pula menanggung beban hutang Perbada­nan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), graduan terpaksa melupakan gaji yang se­timpal dengan kelulusan dan menerima apa sahaja bayaran gaji yang ditawarkan.
Seorang graduan, Mohd. Amzar Mohd. Yusoff, 28, mendakwa, permohonan kerja­nya sering ditolak kerana majikan khuatir dia akan me­ninggalkan pekerjaan apabila men­dapat panggilan sebagai guru PAKK.

Namun realitinya, sejak menamatkan pengajian pada Februa­ri 2015, dia tidak pernah dipanggil untuk temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), menyebabkannya terpaksa me­ngalah dan memohon pekerjaan menggunakan kelulusan Sijil Pe­lajaran Malaysia (SPM).

Dia kini bekerja sebagai pekerja sambilan di sebuah perpusta­kaan di Perlis dengan gaji bersih maksimum RM1,050 sebulan iaitu gaji minimum di Malaysia.

“Saya harap kerajaan buka mata. Kami belajar sama sahaja seperti pelajar ISMP lain, tapi kenapa kelayakan kami seolah-olah tidak diiktiraf?

“Kami tidak mahu terus hidup dengan hutang PTPTN. Kalau boleh, kami nak juga bayar PTPTN hasil wang daripada pekerjaan dalam bidang yang kami belajar. Kami pinjam pun kerana mahu bergelar pendidik,” luah­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Seorang lagi graduan, Razimah Ismail, 29, pula berjaya menjadi guru di sebuah taman didikan kanak-kanak (tadika) swasta, namun ditawarkan gaji yang jauh lebih rendah berbanding sepatutnya.

Katanya, mempunyai ijazah dalam bidang PAKK menyebabkannya sering ditolak ketika memohon pekerjaan sebagai guru ganti di sekolah, selain majikan tidak yakin apabila menge­tahui dirinya pemegang ISMP.

“Saya tidak boleh minta gaji tinggi, jadi terpaksa terima walaupun gaji rendah. Saya perlu bekerja demi kelangsungan hi­dup. Untuk tambah pendapatan, saya mengajar tuisyen secara separuh masa pada hujung minggu,” katanya.

Sumber: Utusan Online

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »