Bahasa Inggeris tidak boleh jadi bahasa pengantar di sekolah

14:00:00
Imej via smkpasirpanjangpd.blospot.com
Kementerian Pendidikan berpendapat langkah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dalam negara ini tidak dapat dilaksanakan.
Kata kementerian itu langkah tersebut bertentangan dengan peraturan sedia ada, iaitu:

  1. Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan
  2. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967
  3. Akta Pendidikan 1996 (termasuk semangat di sebalik penggubalan akta berkenaan).

Justeru Kementerian Pendidikan tidak bercadang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, termasuk di Sarawak.

"Sungguh pun begitu tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui kaedah lain, selari dengan undang-undang dan dasar semasa," katanya.

Kementerian Pendidikan berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen.

Terdahulu Anggota Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, meminta penjelasan mengenai pendirian pihak berkenaan terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Sarawak.

Kata Kementerian Pendidikan pihaknya akan terus memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris melalui anjakan kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

"Dasar ini dilaksanakan supaya setiap murid fasih berbahasa Melayu dan Inggeris," katanya.

Pada masa sama Kementerian Pendidikan berkata mereka menghargai inisiatif kerajaan Sarawak mahu mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid negeri itu.

"Namun setelah meneliti cadangan pelaksanaan tersebut berdasarkan akta dan dasar sedia ada Kementerian Pendidikan berpendapat langkah itu bertentangan dengan akta sedia ada," katanya.

Sumber : Malaysiakini

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »