Apa sudah jadi dengan TVET?

08:24:00
SAUDARA PENGARANG, SAYA ingin merujuk tulisan Pendidik Purba dari Ampang berkaitan dengan Pendidikan Vokasional. Benar apa yang dinyatakan beliau tetapi sejak pemerintahan diambil alih Pakatan Harapan (PH), berita yang didengar adalah tangkapan rasuah dan masalah kewangan negara.

Menteri Pendidikan nampaknya sibuk hendak memegang pelbagai jawatan dan perkara yang remeh-temeh sahaja.
Pada 21 Jun 2018, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, jawatankuasa itu berperanan menyediakan laporan untuk memperkasakan dan menaiktaraf TVET.

Beliau memuji bahawa Nurul Izzah merupakan seorang yang mengambil berat mengenai pendidikan TVET dan telah berbincang dengan beliau bagaimana TVET dapat membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan dan juga keusahawanan.

Mungkin beliau telah bertemu dengan pakar TVET selepas lantikan tersebut.

Dr. Maszlee berkata, kerajaan sedar akan pentingnya aliran teknikal dan vokasional selaras dengan manifesto PH.

Menurut sumber berita, Nurul Izzah ketika ditemui berkata, skop TVET mempunyai banyak potensi dan berpuluh bilion ringgit telah dibelanjakan untuk mengangkat dan menambah penglibatan pelajar dalam bidang TVET.

Tambahnya, beliau mengambil kira kemungkinan terdapat ‘kelompok lompongan’ yang wujud walaupun ini perkara biasa.

Namun begitu kami yang sedang dan sudah begitu lama dalam bidang TVET ini ingin tahu apakah yang dimaksudkan ‘kelompok lompongan’ yang beliau maksudkan.

Sebenarnya bidang TVET di negara ini agak ‘terganggu’ dengan mereka yang membuat perubahan tetapi seperti tikus membaiki labu di Kementerian Pendidikan dan kementerian yang berkaitan.

Sepatutnya semua latihan diselaraskan dan tidak timbul berebut-rebut menubuhkan pusat latihan atau yang berkaitan dengannya dengan harapan mendapat keuntungan.

Sebagai contoh sepatutnya pelajar yang berada di sekolah menengah atau sekolah rendah yang gagal dalam bidang akademik sepatutnya terus disalurkan ke kolej vokasional.

Pembelajaran vokasional asas yang diadakan di sekolah aliran akademik sekarang benar-benar mengganggu aliran akademik tersebut. Namun begitu mata pelajaran teras peringkat SPM perlu diberi perhatian supaya pelajar tidak buta sejarah, sains dan teknologi.

Maka cadangan Pendidik Purba yang mencadangkan transformasi terhadap sekolah menengah akademik mengadakan mata pelajaran vokasional tidak perlu kerana mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu, Sains Rumah Tangga, Asas Ekonomi, Perakaunan, Reka Cipta dan pelbagai mata pelajaran berkaitan dengan TVET sudah ada. Ini tidak termasuk aliran separa TVET juga ada. Jika hendak mendapatkan 80 peratus bidang TVET hantarlah anak anda ke kolej vokasional, itulah jalan penyelesaiannya. Namun begitu saya masih menunggu apakah Nurul Izzah hendak lakukan.

ZULKAS

Kg.Tengah Ayer Baloi

Sumber asal : Utusan Online
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »