Ahli Parlimen, Senator masih tidak fasih Bahasa Melayu akan ikuti kursus tahun hadapan

20:01:00
PUTRAJAYA 28 Sept. - Mana-mana ahli Parlimen dan Dewan Negara yang masih tidak fasih menggunakan bahasa Melayu ditawarkan mengikuti kursus asas bahasa Kebangsaan itu bermula Januari tahun hadapan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kursus tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertujuan membaiki mutu bahasa Melayu setiap ahli Parlimen tanpa mengira bangsa.
"Mereka yang ingin memperbaiki mutu bahasa Melayu diminta menghubungi DBP.

"Pada masa sama, kursus ini juga dibuka kepada wakil-wakil kedutaan asing di sini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Yang hadir sama, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kadar yuran, katanya, buat masa ini bayaran tersebut masih belum ditetapkan lagi.

Sementara itu, Mohamed Hatta berkata, program tersebut dibuat berdasarkan cadangan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Syarahan Negarawan di DBP, Selasa lalu.

Katanya, dalam syarahan tersebut Anwar mencadangkan agar DBP melaksanakan kursus penguasaan bahasa Kebangsaan untuk ahli Parlimen supaya mereka dapat berbahas dengan baik dalam Dewan Rakyat.

Sumber - UTUSAN ONLINE
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »