Mampukah kerajaan teruskan Skim Pencen untuk penjawat awam?

12:51:00
TAHUN ini genap 23 tahun Mahpop Nemat, 73, menamatkan perkhidmatannya sebagai kakitangan awam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia selepas hampir 33 tahun berkhidmat di agensi kerajaan itu.

Mahpop yang mula bekerja seawal usia 18 tahun terpaksa menamatkan perkhidmatannya lebih awal iaitu pada umurnya 51 tahun kerana perlu menjaga isterinya yang tidak sihat ketika itu.
“Gaji terakhir pak cik ketika itu sekitar RM500 sebulan. Jadi selepas pencen, pak cik dapatlah bayaran RM245 sebulan. Jumlah itu cukup-cukup untuk belanja kerana anak-anak masih ada yang bersekolah.

“Lagi pun pak cik ada buka kedai makan selain menerima tempahan memasak untuk perkahwinan. Masa itu Alhamdulillah masih sihat dan kuat untuk bekerja, jadi dapatlah tampung kehidupan bersama tiga orang anak dan isteri,” katanya ketika ditemui Jurnal di rumahnya di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Bersyukur

Cerita Mahpop, dia bersyukur dapat bekerja dalam perkhidmatan awam yang ketika itu tidak dipandang tinggi disebabkan kadar gaji rendah berbanding mereka yang bekerja di sektor swasta.

Jelas beliau, sekiranya bekerja di sektor swasta dahulu, sudah pasti dia tidak akan menikmati bayaran pencen yang dianggapnya sebagai ‘hadiah’ oleh kerajaan kerana berkhidmat untuk rakyat walaupun tidak lagi bekerja.

“Ada rakan-rakan yang bekerja di sektor swasta dahulu gajinya lebih besar daripada pak cik. Tetapi selepas saja berhenti kerja kerana sudah tua, dia masih lagi perlu bekerja kerana simpanan yang ada sudah habis.

“Jika pak cik tidak menjadi penjawat awam, sudah pasti pak cik akan terus bekerja ketika ini. Umur sudah 73 tahun, sudah pasti kudrat tidak sama lagi, jika kerja kuat badan pun akan sakit.

“Alhamdulillah dengan rezeki panjang umur yang diberikan Allah, duit pencen masih cukup untuk pak cik selain duit sumbangan daripada anak-anak yang sudah bekerja,” ujarnya.

Tambah Mahpop, ketika ini dia menikmati bayaran pencen sebanyak RM1,000 sebulan atas keprihatinan kerajaan yang menaikkan kadar pencen itu dari semasa ke semasa.

“Masa awal-awal dahulu pencen RM245 sebulan sebelum dinaikkan kepada RM285 pada 1998 dan RM320 (2000). Selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri pada 2004, beliau menaikkan kepada RM720.

“Selepas itu pada 2017 ketika Datuk Seri Najib Tun Razak masih menjadi Perdana Menteri, beliau telah menaikkan kadar pencen kepada RM1,000 sebulan. Bayaran ini sangat bermakna buat pak cik apatah dalam usia yang sudah 73 tahun,” ujarnya terharu.

Ujar Mahpop lagi, beliau berharap kerajaan tetap meneruskan pembayaran wang pencen kepada kakitangan kerajaan pada masa akan datang kerana ia memberi manfaat terutama mereka yang bergelar warga emas.

“Saya rasa masih ramai di luar sana yang terpaksa bekerja walaupun sudah tua kerana tiada sumber pendapatan lain. Jadi, dengan bayaran pencen ini sudah tentu ia memberi kelegaan kepada kami yang meniti usia emas ini,” katanya.

Cerita Mahpop itu merupakan sebahagian daripada ratusan ribu pesara kerajaan yang ketika ini menikmati faedah bayaran pencen secara bulanan daripada kerajaan walaupun tidak lagi bekerja.

Jangka hayat

Bilangan pesara kerajaan ketika ini dianggarkan berjumlah lebih 775,000 orang dan dijangka meningkat kepada 1.5 juta orang pada 2050 seiring dengan trend peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia daripada 75 tahun kepada 85 tahun dalam tempoh tersebut.

Ketika ini kerajaan memperuntukkan perbelanjaan untuk bayaran pencen kepada pesara hampir RM30 bilion setahun dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM100 bilion pada 2050 selaras dengan trend peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia.

Perbelanjaan besar kerajaan dalam pemberian pencen selama ini tidak dapat dinafikan memberi kesan besar kepada kantung kewangan kerajaan.

Hakikat itu diakui sendiri oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memaklumkan kerajaan mungkin perlu menilai semula untuk memperkenalkan skim potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kakitangan awam baharu pada masa depan.

“Dalam sistem lama, kerajaan tidak potong KWSP. Dalam usia 50 hingga 60 tahun mereka bersara, kita perlu beri mereka pencen. Kalau kita tidak beri pencen, mereka tidak ada KWSP.

“Proses ini adalah polisi lama. Pada masa ini, polisi itu kita perlu lihat semula pada kakitangan yang baharu,” katanya dalam satu temu bual berhubung isu bajet tahun lalu.

Sementara itu, Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Mohamad Noorizuddin Nooh, walaupun berlaku peningkatan perbelanjaan bayaran pencen kepada pesara kerajaan, jumlah itu tidak akan meningkat secara mendadak sehingga mencecah RM100 bilion pada 2050.

Beliau berkata, hal itu disebabkan tidak semua akan memilih skim pencen kerana terdapat dalam kalangan penjawat awam memilih skim potongan KWSP.

“Sebenarnya kerajaan sudah memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada untuk memilih skim pencen atau KWSP untuk persaraan mereka kelak. Tidak dinafikan ramai yang memilih skim pencen kerana ia dilihat lebih menguntungkan.

“Bagaimanapun, pada masa akan datang tidak mustahil ramai penjawat awam lebih terbuka memilih skim KWSP untuk hari persaraan mereka kelak. Justeru, jumlah perbelanjaan kerajaan tidak akan mencecah RM100 bilion pada 2050 seperti yang didakwa sebelum ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelas Noorizuddin, kerajaan perlu memperhebatkan langkah bagi menarik lebih ramai penjawat awam baharu untuk memilih skim persaraan berasaskan KWSP sekiranya mahu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata, skim persaraan KWSP untuk kakitangan kerajaan perlu diperkasa dengan penambahan nilai untuk menarik lebih ramai penjawat awam memilih skim tersebut berbanding pencen.

“Pembayaran pencen untuk kakitangan kerajaan yang lama perlu diteruskan sebagai langkah muhibah kerajaan bagi menghargai perkhidmatan mereka. Cuma, dalam masa kerajaan yang sama perlu menggalakkan kakitangan baru untuk memilih skim KWSP perlu diperhebatkan.

“Apa yang saya lihat kerajaan tidak begitu melakukan promosi bagi menarik penjawat awam yang baru untuk memilih skim KWSP walaupun skim ini telah dipraktikkan lebih 10 tahun lalu.

“Tetapi jika ingin perkasa skim KWSP untuk penjawat awam, janganlah pula ditarik kelayakan untuk mendapatkan kemudahan kesihatan percuma untuk pesara. Itu sebenarnya dirisaukan jika skim KWSP dilaksanakan,” ujarnya.

Tambah Noorizuddin, antara faktor lain yang menyebabkan ramai penjawat awam tidak memilih skim KWSP disebabkan kegusaran mereka apabila duit dapat sekaligus ia cepat habis jika dibelanjakan dengan tidak berhemah.

“Sedangkan jika memilih untuk menerima wang pencen bulanan, duit itu masih lagi diterima oleh balu dan anak-anak di bawah umur 18 tahun selepas kematian pesara.

“Jadi, untuk menarik minat penjawat awam memilih skim KWSP ia perlu ditambah nilai. Mungkin pembayaran boleh diagihkan secara bulanan seperti yang dilakukan kepada penerima wang pencen,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noorizuddin berkata, pada masa akan datang Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) boleh mengambil alih urusan pembayaran pencen melalui dana mereka sendiri sekiranya pelaburan badan kerajaan itu semakin efisien.

“Difahamkan ketika ini KWAP telah menguruskan pembayaran pencen kepada pesara kerajaan tetapi wang yang dibayar itu daripada kerajaan dan tidak menggunakan langsung dana pelaburan mereka.

“Pada masa akan datang sekiranya kerajaan tidak mempunyai keupayaan, KWAP boleh mengambil alih tugas membayar wang pencen menggunakan dana mereka sendiri yang disasarkan mencecah RM150 bilion tahun ini.

“Bagaimanapun, KWAP perlu mempunyai pakar-pakar dalam pelaburan supaya sentiasa efisien dalam mendapatkan keuntungan bagi membolehkan mereka mempunyai keupayaan membayar wang pencen menggunakan dana sendiri,” katanya.

Terbaik di dunia

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Harry Tan Huat Hock berkata, sistem persaraan untuk kakitangan kerajaan di Malaysia adalah yang terbaik di dunia dan wajar diteruskan serta ditambah baik sekiranya ada keperluan mendesak.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan sistem persaraan negara lain, pesara kerajaan di Malaysia memperoleh kenaikan wang pencen sekitar dua peratus setiap tahun walaupun tidak lagi menyumbang secara produktif.

“Memang ada negara luar yang memberikan sistem pencen kepada kakitangan kerajaan, tetapi tidak sebaik di Malaysia. Pesara kerajaan di negara ini sentiasa mendapat kenaikan setiap tahun, malah ketika ini mereka dapat bayaran minimum RM1,000 jika berkhidmat lebih 25 tahun.

“Sebagai contoh di Singapura, wang pencen hanya terhad kepada pesara dan tidak boleh dipindahkan kepada waris lain. Berbeza di Malaysia, jika pesara itu meninggal dunia, wang pencen itu akan diterima oleh balu dan anak yang berumur 18 tahun ke bawah,” ujarnya.

Menurut Harry Tan, selain wang pencen yang diterima secara bulanan, pesara kerajaan juga memperoleh bayaran ganjaran secara sekali gus sebaik sahaja menamatkan perkhidmatan mereka.

“Bayaran itu melibatkan ganjaran perkhidmatan dan gantian cuti rehat maksimum 150 hari. Bagi saya tiada negara lain sebaik Malaysia yang mempunyai sistem persaraan untuk penjawat awam.

“Lebih bagus lagi, mereka yang bergelar Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga layak menerima pencen seperti penjawat awam. Sistem ini tiada di negara lain.

“Bagi saya apa yang bagus dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu penjawat awam selepas persaraan kelak perlu dikekalkan, malah jika perlu ditambah baik ia wajar terutama melibatkan pembayaran wang pencen minimum,” ujarnya.

Kerajaan hari ini
Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi gambaran bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka membentangkan belanjawan defisit untuk beberapa tahun akan datang.

"Mencapai belanjawan berimbang adalah matlamat yang hendak laksanakan, tapi sukar untuk dicapai dalam situasi kewangan yang agak mengongkong dan hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

"Bukan saja sukar pada tahun depan tapi pada beberapa tahun yang akan datang," katanya kepada Dewan Negara hari ini.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan T Chandra Mohan (HARAPAN) yang menggesa kerajaan memperkenalkan belanjawan berimbang dan memberi peruntukan lebih bagi pembangunan.

Dalam penggulungan perbahasan di Dewan Negara berhubung Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan) 2018, Lim bersetuju dengan saranan Chandra.

Selain menyorot kekangan untuk mencapai belanjawan berimbang, Lim juga mengakui kesukaran untuk kerajaan mengimbangi perbelanjaan untuk pengurusan dan pembangunan.

Antara lain, kata Lim, adalah kerana hampir 40 peratus belanjawan itu akan digunakan untuk emolumen pencen.

Jumlah berkenaan, kata Lim, adalah perbelanjaan tetap yang perlu diperuntukkan sebelum kerajaan persekutuan merancang program lain.

"Kita jangka peruntukan untuk emolumen dan pencen akan melebihi RM100 bilion tahun depan.

"Ini merupakan satu cabaran besar apabila kerajaan persekutuan tidak bercadang untuk mengurangkan penjawat awam," katanya.

Sumber : Malaysiakini
Sumber : Kosmo Online
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »