Kenapa ambil guru pencen untuk pembantu guru dan bukan graduan?

22:37:00
PETALING JAYA: Kementerian sepatutnya melantik graduan jurusan pendidikan menjadi pembantu guru-guru di sekolah dan bukannya memberikan peluang itu kepada guru-guru pencen, kata Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA).

Wakilnya, Mohd Azrinsyah Abd Aziz berkata langkah itu akan membantu menangani masalah lambakan graduan pendidikan dan meningkatkan kemahiran mereka sementara menunggu penempatan.
“Menteri pendidikan tidak memberi peluang tersebut graduan guru yang banyak menganggur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Memang diakui, guru pencen mempunyai pengalaman dalam pengajaran, tetapi bukankah tugas pembantu guru membantu kerja perkeranian? Adakah jawatan ini sesuai diberikan kepada guru pencen?”

Beliau menambah memberikan jawatan itu kepada guru-guru pencen menutup peluang graduan, selai tidak mengurangkan masalah lepasan universiti yang tidak mendapat tepat.

“Pembantu guru dikatakan sebagai gred yang rendah, tetapi ia dapat memberi peluang kepada graduan guru untuk menyumbang tenaga dan menggalas tugas mendidik anak bangsa,” katanya.

Kelmarin di Dewan Rakyat, bekas menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bertanyakan kepada kerajaan apakah jawatan pembantu guru akan diwujudkan bagi meringankan tugas guru-guru bagi urusan luar waktu pengajaran dan pembelajaran.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata kementerian akan mengambil sukarelawan dan guru-guru pencen untuk jawatan itu.

Sementara itu, GGPUA menyambut baik cadangan mewujudkan taska di agensi-agensi kerajaan kerana ia akan memberi peluang kepada 500 graduan pendidikan awal kanak-kanak yang masih tidak mendapat tempat.

Sumber : Free Malaysia Today

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »