Saturday, 14 July 2018

UEC setaraf diploma, ijazah?

UEC (Sijil Peperiksaan Bersama) setaraf pemegang diploma, ijazah? Itu persoalan yang ditanya oleh netizen sejak semalam apabila iklan gegantung mencari pekerja menawarkan jawatan pengurus cawangan hanya kepada pemegang UEC, diploma atau ijazah.

Iklan tawaran pekerjaan itu dibuat oleh sebuah rangkaian kedai runcit terkemuka di Malaysia. Iklan berkenaan mengundang pertanyaan adakah UEC yang ketika ini menjadi isu nasional telah diiktiraf setaraf dengan pemegang diploma dan ijazah oleh segelintir pengusaha, syarikat dan ahli perniagaan?
Iklan pekerjaan tersebut tidak langsung menyebut mengenai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan. Ini sekaligus mengundang persoalan di mana kedudukan SPM dan STPM?

Isu seperti inilah yang memerlukan kerajaan dan Kementerian Pendidikan untuk mengkaji dengan lebih mendalam sebelum memberi pengiktirafan kepada UEC. Ini kerana dikhuatiri pengiktirafan terhadap UEC akan menyebabkan diskirminasi kaum dalam arena pekerjaan berlaku secara halus.

Sebelum ini terdapat syarikat yang bersifat rasis menggunakan taktik halus iaitu dengan mengenakan penguasaan bahasa tertentu sebagai syarat pekerjaan untuk mengambil kaum tertentu sahaja sebagai pekerja.

Dikhuatiri UEC akan digunakan secara sah di sisi undang-undang oleh syarikat rasis ini untuk mengambil kumpulan kaum tertentu sahaja sebagai pekerja tanpa rasa bersalah terhadap kumpulan kaum lain. Dan lebih dikhuatiri jika ada majikan menggunakan syarat UEC untuk mendiskriminasi pemberian gaji kepada pekerja mengikut kaum di negara ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu apakah UEC. UEC ditakrifkan sebagai Unified Examination Certificate atau Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Sijil ini diguna pakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang dibenarkan beroperasi mengikut caranya sendiri, menggunakan silibus UEC, dengan syarat mesti mengikuti kehendak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Secara tidak langsung, pelajar ini akan memiliki dua sijil sekali gus iaitu UEC dan SPM.

Umumnya, sijil UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Mene­ngah Rendah (UEC-JML), Vokasional (UEC-V) dan Menengah Tinggi (UEC-SML) yang kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin. UEC-SML mengandungi subjek Matematik, semua subjek sains dan semua subjek aliran perdagangan.

Pada 12 Julai lalu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan, pihaknya tidak akan membuat pusingan U untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selaras dengan manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketika ditanya tentang tempoh yang akan diambil untuk UEC diiktiraf, Maszlee secara berseloroh mengatakan bahawa ia tidak akan mengambil masa selama 60 tahun seperti BN.

Adakah iklan pekerjaan yang digantung oleh syarikat rangkaian runcit tersebut menjadi permulaan untuk mendiskriminasi kumpulan kaum tertentu atau pemegang SPM dan STPM dalam arena pekerjaan?

Inilah adalah sesuatu yang perlu difikirkan oleh kerajaan secara amnya dan Kementeri Pendidikan khususnya sebelum mengiktiraf UEC

Sumber-UTUSAN ONLINE

loading...

Google+ Followers