Hari Bahasa Kebangsaan, Inggeris di sekolah untuk tingkat penguasaan

15:25:00
JOHOR BAHRU: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.mencadangkan Hari Bahasa Kebangsaan dan Hari Bahasa Inggeris dilaksana di setiap sekolah bagi meningkatkan tahap penguasaan kedua-dua bahasa itu.

Maszlee berkata Hari Bahasa itu perlu diperluaskan di sekolah kebangsaan, sekolah swasta, sekolah bantuan kerajaan atau sekolah jenis kebangsaan dengan memilih hari tertentu dalam setiap minggu.
“Dua hari tertentu dipilih dengan aktiviti mesti dijalankan dalam bahasa itu dan melibatkan juga kesusasteraan Melayu, ini amat penting dalam kita memartabatkan bahasa kebangsaan.

Selain itu, dalam meraikan kepelbagaian dan era baru, penguasaan bahasa ketiga dan keempat juga perlu ditekankan sebagai sumber kekuatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis alumni ‘Sireh Pulang ke Gagang’ Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman 2 (STAR2), di sini, hari ini.

Maszlee yang merupakan bekas murid STAR2 dari 1981 hingga 1986 berkata, usaha berkenaan akan dibincangkan dengan pihak yang berkaitan.

Pada masa sama, beliau mahu guru di sekolah rendah mengubah stigma mereka yang tidak berasa bangga mengajar di sekolah rendah berbanding mengajar di sekolah menengah.

“Di Finland, negara yang mempunyai kualiti pendidikan nombor satu di dunia, cikgu terbaik mereka dihantar ke sekolah rendah bagi pembentukan peribadi dan kemahiran bahasa di peringkat awal.

“Kita hari ini cikgu tidak mahu mengajar di sekolah rendah, semua nak pergi ke sekolah menengah terutamanya cikgu yang mempunyai ijazah,” katanya.

Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam juga berkata, beliau mahu masyarakat Cina di negeri ini khususnya meningkatkan penguatkuasaan bahasa kebangsaan.

Justeru katanya, penglibatan pelajar melalui program integrasi bersama pelbagai aliran sekolah perlu diadakan bagi membolehkan mereka bergaul sejak kecil.

Sumber: Free Malaysia Today
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »