Wednesday, 25 July 2018

Graduan guru menganggur, UPSI ambil maklum

KUALA LUMPUR 24 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa mengambil maklum kesukaran­ yang dihadapi gra­duannya yang ma­sih belum me­ne­rima pe­nempatan sebagai guru dengan menjalankan pelbagai program untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr. Mohd. Sahandri Gani Hamzah berkata, pihaknya sentiasa memastikan graduannya mempunyai kualiti mencukupi untuk ditempatkan sebagai guru.
“Dalam usaha kami untuk menjenamakan UPSI sebagai universiti pendidikan nombor satu, pelajar akan dilengkapkan dengan kemahiran teknologi dan ujian personaliti melalui program Pedagogi Edu 2.0 supaya para graduan sentiasa terkehadapan dari segi kemahiran menghadapi cabaran pendidikan semasa.

“Malah, UPSI turut membantu graduan selepas graduasi dengan menjalinkan kerjasama dengan sekolah, kolej swasta serta industri untuk mengambil graduan sebagai pelatih selama beberapa bulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sahandri turut memberitahu, UPSI tidak berhasrat untuk me­mohon kerajaan menetapkan pengeluaran graduan pendidikan hanya dihadkan untuk UPSI kerana persaingan sihat antara universiti dapat memastikan kua­liti guru yang dihasilkan meningkat.

“Kita tidak mahu monopoli kerana bagus untuk setiap universiti ini bersaing secara sihat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Gra­duan (EDGE) UPSI, Dr. Mazura Muhammad berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk menambah nilai kebolehpasaran graduan dengan menyediakan kursus serta program keusahawanan untuk pelajar dan gra­duan.

Beliau berkata, antara program yang pernah dijalankan ialah Kursus Mutawwif dan Mutawwifah untuk pelajar program Pengajian Islam dan Bahasa Arab, latihan setahun bersama industri untuk pelajar program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan program Pedati Makanan untuk pelajar dalam kategori asnaf.

“Untuk program Pedati Makanan, kami dengan kerjasama Celcom berjaya dapatkan 10 orang pelajar asnaf untuk berniaga di bazar Ramadan selama 24 hari dan berjaya mencatatkan nilai jualan sehingga RM80,000,” katanya.

Sumber: Utusan Online

loading...

Google+ Followers