Monday, 30 July 2018

Buku teks sejarah bakal ditulis semula?

Tags

KANGAR 30 Julai - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) yang mewakili lebih 70,000 ahli membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha atau rancangan untuk menulis semula sejarah dengan mengiktiraf perjuangan komunis.

Presidennya, Ismail Abidin menegaskan, tindakan kejam komunis yang membunuh rakyat tanpa mengira kaum termasuk anggota tentera dan polis sama sekali tidak boleh dimaafkan sampai bila-bila.
Katanya, usaha pihak tertentu untuk mengiktiraf perjuangan komunis itu bukan sahaja biadab sebaliknya merupakan langkah yang tidak masuk akal selain boleh mengguris perasaan rakyat di negara ini khususnya anggota keselamatan.

“Kita memang menentang habis-habisan sebarang usaha mengiktiraf perjuangan komunis ini. Jangan sesekali ubah sejarah mengenai komunis ini, komunis ini semua sedia maklum adalah satu gerakan yang jahat dan kejam.

“Ramai pejuang kita mati kerana kekejaman komunis ini, tiba-tiba hari ini ada pihak lain pula yang hendak terima perjuangan komunis ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas motif forum bertajuk Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? yang dianjurkan Imagined Malaysia bagi membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat.

Dalam forum tersebut, beberapa panelis menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah itu.

Menurut aktivis PH, Fadiah Nad­wa Fikri, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut merupakan fakta yang tidak dimasukkan di dalam buku teks sedia ada walaupun para pejuang berkenaan turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Dia yang juga seorang peguam dilaporkan berkata, fakta tersebut perlu dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah bagi memberi kefahaman kepada pelajar dan masyarakat mengenai Malaysia sebagai sebuah negara.

Malah pendapat sama turut diberikan oleh seorang lagi panelis, Fahmi Reza yang mendakwa buku teks sedia ada merupakan satu alat propaganda politik kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, Ismail yang juga Yang Dipertua PVATTBM cawangan negeri berharap kerajaan Pakatan Harapan tidak melayan atau sesekali terpengaruh dengan gesaan pihak tertentu untuk mengiktiraf perjuangan komunis.

Sumber - UTUSAN ONLINE
loading...

Google+ Followers