Buku teks, aktiviti hanya sumbang 28% beban beg sekolah

15:25:00
PUTRAJAYA: Buku teks dan aktiviti hanya menyumbang 28% kepada beban beg sekolah murid rendah, demikian menurut Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah pada 2017.


Kajian itu mendapati penyumbang berat beg sekolah yang selebihnya terdiri daripada alat tulis, buku kerja swasta, uniform sekolah agama atau kurikulum, bekalan makanan dan minuman, gajet serta beg itu sendiri.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan sudah merangka strategi menangani isu beg berat menerusi pelaksanaan beberapa langkah segera, termasuk penggubalan garis panduan serta syor kepada murid, guru, ibu bapa dan sekolah.

Beliau berkata kementerian mengesyorkan pihak sekolah menyusun jadual waktu untuk 3 hingga 4 mata pelajaran setiap hari, selain semua aktiviti perlu diselesaikan di dalam kelas atau bersambung pada kelas seterusnya bagi mengurangkan membawa pulang kerja rumah.

Bercakap dalam sidang media di kementeriannya hari ini, beliau berkata guru perlu mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas (surat siaran berkaitan buku kerja/jadual anjal) selain memberi arahan jelas kepada murid apa yang perlu dibawa dalam kelas setiap hari.

Maszlee berkata penguatkuasaan Surat Pekeliling Ikhtisas dan surat siaran akan berkuat kuasa Januari 2019 secara berhemah.

Beliau berkata ibu bapa juga perlu memupuk dan membimbing anak-anak dengan amalan memeriksa dan menyusun beg setiap hari serta menyisih barang yang ada di dalamnya setiap minggu.

Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah pada 2017 itu merangkumi tahun persekolahan, lokasi (bandar dan luar bandar), jantina dan jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Berhubung isu kelas komputer berbayar di SJKC, beliau berkata ia boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kegiatan korikulum selepas waktu persekolahan dan bukan pada waktu persekolahan kerana ia bercanggah dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan sedia ada.

Sehubungan itu, beliau berkata surat kebenaran khas dikeluarkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sing Woon kepada beberapa sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah yang membenarkan pelaksanaan kelas komputer dalam jadual waktu persekolahan terbatal.

Katanya, sebarang tambahan kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sama ada bersifat pengukuhan atau pengayaan boleh dijalankan selepas selesai jadual waktu rasmi persekolahan.

Berhubung pembinaan SJKC baru yang dijanjikan kerajaan sebelum ini, beliau berkata 8 projek tersebut akan diteliti dan dikaji semula berdasarkan situasi kewangan negara manakala 2 lagi yang sudah melepasi proses pecah tanah, akan diteruskan.
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »