Thursday, 24 May 2018

NUTP mahu menteri baharu selesai isu SKPMG2

Imej via Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR 23 Mei - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) hari ini merayu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya membantu menyelesaikan isu Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang dilihat membebankan para guru.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata badan itu menerima banyak rungutan dan aduan daripada guru-guru berkaitan dengan isu tersebut kerana keperluan untuk menyiapkan dokumen SKPMg2 itu adalah menyusahkan dan membuang masa guru-guru.

Ia juga amat tidak berbaloi sehingga mengurangkan 'face time' di antara murid, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, NUTP juga banyak menerima bukti-bukti bergambar daripada para guru berhubung perkara itu.

Tan berkata NUTP juga telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pada 6 November tahun lepas untuk menyatakan isu-isu berkaitan SKPMg2.

SKPMg2 dibina dengan format baharu yang dibangunkan khusus sebagai panduan kepada pentadbir dan warga sekolah dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan dan proses penyampaian pendidikan. Instrumen SKPMg2 terdiri daripada lima standard antaranya Kepemimpinan, Pengurusan Organisasi dan Kemenjadian Murid. - BERNAMA


loading...

Google+ Followers