Saturday, 19 May 2018

Negara kekurangan guru Bahasa Inggeris, NUTP mahu jumpa menteri

Tags

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan 5 kategori masalah dan 14 perkara dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kerana “tiada dasar dan hala tuju”.

Setiausaha Agung Harry Tan Huat Hock, mewakili 200,000 seluruh negara berkata sistem pendidikan masa kini perlukan tokoh berkaliber dan tahu hala tuju pendidikan untuk menyelesaikan masalah berbangkit, dari pentadbiran ke sumber manusia, prasarana, perkhidmatan, keselamatan dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.

“Semua yang dinyatakan hanyalah beberapa masalah yang melanda guru yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan. “Akhirnya, NUTP ingin menjadikan pendidikan di Malaysia bebas politik dan cemerlang serta disegani di seluruh dunia.”

Tiga perkara yang disebut Harry dalam senarai masalah berbangkit ialah kekurangan guru Bahasa Inggeris, Program Dwibahasa (DLP) serta dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dan penutupan Institut Pendidikan Guru oleh kerajaan dulu.

Berhubung masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris, Harry ketika dihubungi menjelaskan kelemahan Bahasa Inggeris di Malaysia bukan kerana mata pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa asing.

“Masalah utamanya ialah guru-guru ‘opsyen’ Bahasa Inggeris tidak cukup. Contohnya di Kelantan di cikgu cukup tetapi guru yang berkelayakan mengajar Bahasa Inggeris ada kekurangan 500 orang,” katanya.

Beliau menyentuh laporan tentang kemungkinan PPSMI diperkenalkan semula bawah kerajaan PH. Dasar itu diperkenalkan pada 2003 oleh Dr Mahathir bagi melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang sains dan matematik tetapi dimansuhkan pada 2012 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NUTP berkata pelaksanaan PPSMI sebelum ini menjadi bahan politik, dan berharap pentadbiran baru Dr Mahathir akan melihat program DLP yang menggantikan dasar itu “dengan tujuan untuk memperkukuhkannya”.

“Kita tak tolak apa-apa dasar kerajaan kita laksanakan tapi saya nyatakan fakta bahawa PPSMI telah ditolak oleh Pakatan Rakyat (gabungan PKR, DAP dan PAS), telah ditolak banyak pihak. Pihak kementerian sedar Bahasa Inggeris itu penting jadi mereka kemukakan DLP.

“NUTP tidak boleh tolak dasar kerana itu ialah hak kerajaan. Kita hanya boleh bagi maklum balas,” katanya.

Mengenai penutupan IPG pula, Harry menjelaskan kerajaan dulu mahu menutup IPG dan menukar kepada kolej vokasional kerana mahu menekankan TVET. Pihaknya menjangkakan 2 IPG akan ditutup iaitu di Kota Bharu dan Batu Pahat.

“Warga pendidikan kita yang berada di IPG tak ada tempat. Mereka dikeluarkan dan mengajar, katakan mengajar di kolej vokasional. Tetapi, mereka ini dilatih oleh kerajaan untuk mengajar guru pelatih. Ada yang ada ijazah kedoktoran, ijazah sarjana, dan tugas mereka ialah mengajar guru pelatih.

“Ia menimbulkan banyak masalah perkhidmatan dan mereka telah diluluskan ke mana-mana tempat, badan-badan, sekolah menengah dan sekolah rendah. Ini menimbulkan masalah kemanusiaan,” katanya.


loading...

Google+ Followers