Menteri Pendidikan baharu akan fokus Bahasa Inggeris, teknologi

18:57:00
KOTA DAMANSARA - Kementerian Pendidikan komited melakukan tranformasi sistem pendidikan negara dengan menerapkan elemen penting iaitu sistem pendidikan berteraskan teknologi dan penekanan berkaitan Bahasa Inggeris.

Menteri Pendidikan yang baharu, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu menjadi fokus kementeriannya selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kepentingan Bahasa Inggeris untuk dikuasai rakyat adalah demi menempatkan Malaysia sebagai negara maju berdasarkan bidang pendidikan, itu tak boleh dinafikan.

"Saya percaya kebebasan memilih oleh ibu bapa dan murid-murid itu sendiri dan salah satu kalau kita perasan dalam pelan pendidikan negara ialah penekanan keperluan untuk menguasai pelbagai bahasa.

"Jadi kita melihat bukan isu Bahasa Inggeris sahaja tetapi isu untuk rakyat Malaysia meraikan kepelbagaian bahasa dan etnik yang wujud sebagai kekuatan, contohnya kita nak wujudkan individu yang boleh berbahasa lebih daripada dua bahasa," katanya ketika temuramah eksklusif bersama Sinar Harian, mlam tadi.

Selain itu, Maszlee berkata, antara usaha meringankan beban murid dan guru seperti manifesto sebelum PRU14 ialah melalui sistem pendidikan berteraskan teknologi.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam menjelaskan, dirinya sendiri turut terkesan dengan perkara itu dan ingin melihat bagaimana sistem pendidikan kebanyakan negara maju seperti Finland dapat diterapkan di negara ini.

"Mereka menjadikan umur awal persekolahan itu sebagai ‘formative years’ iaitu untuk membina sahsiah lebih daripada dibebankan dengan peperiksaan atau buku-buku yang banyak.

"Kita mahukan sistem pendidikan awal itu lebih kepada konsep mengumpul maklumat, berfikir secara kritikal dan mengkaji untuk mewujudkan manusiawi dalam diri mereka.

"Sebab itu saya melihat kita akan cuba wujudkan budaya pendidikan bersifat kepada tiga elemen iaitu kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat menghormati," katanya.

Sinar Harian

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »