Tun Mahathir Perdana Menteri Malaysia ke-7

23:00:00
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara, di sini, jam 9.56 malam ini.

Dr Mahathir, 92, yang diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, mencatat sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selepas memegang jawatan yang sama pada 16 Julai 1981 untuk tempoh 22 tahun.
Sultan Muhammad V memberi perkenan selaras dengan Fasal (2) (a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir dikurniakan surat cara perlantikan oleh Sultan Muhammad V, sebelum mengangkat sumpah jawatan dan setia serta menyimpan rahsia.

Turut hadir Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 semalam, Pakatan Harapan memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Pada PRU ini, Dr Mahathir memenangi kerusi Parlimen Langkawi dengan memperoleh majoriti 8,893 undi menewaskan penyandang daripada Barisan Nasional, Datuk Nawawi Ahmad dan calon PAS, Zubir Ahmad dalam pertandingan tiga penjuru.

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »