Saturday, 19 May 2018

Ideas alu-alukan Dr. Maszlee sebagai Menteri Pendidikan

KUALA LUMPUR – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengalu-alukan pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan dan menyifatkan beliau berpengalaman luas dalam bidang pendidikan.

Ketua pegawai eksekutifnya Ali Salman dalam kenyataan mengucapkan tahniah berkata Dr Maszlee juga dikenali sebagai seorang yang menunjukkan pendirian berprinsip dengan bersuara mengenai isu-isu kritikal secara terbuka.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu telah menyuntik idea-idea baharu untuk sistem pendidikan negara semasa berkempen dengan mencadangkan sistem sokongan seperti “teaching assistant”, mengecilkan kelas dan meringankan beban guru.

“Beliau juga telah menunjukkan komitmen terhadap isu-isu pendidikan yang memberi kesan kepada masyarakat melalui penglibatannya dalam Lembaga Pengelola Pusat Autisme IDEAS dan NGO yang lain seperti Teach for the Needs (TFTN) dan Pusat Pendidikan Downsyndrome Orkids (ORKIDS),” kata beliau.

Ali Salman, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Islam and Liberty Network, platform penyelidik dan ahli akademik global berkata Maszlee telah secara aktif menyumbang dalam perdebatan mengenai Islam dan isu-isu dasar dengan menyampaikan interpretasi inklusif, plural dan liberal tentang Islam.

Ali berkata Maszlee juga telah menunjukkan komitmen kepada IDEAS pada masa lalu apabila beliau mengadakan kursis pendek mengenai Ekonomi Politik pada 2014. Ideas sebelum ini telah menerbitkan kertas kerja mengenai topik pilihan sekolah, autonomi sekolah dan pelajar yang tercicir dari sekolah serta empat kertas mengenai autonomi dalam pendidikan tinggi.

“Kami menaruh harapan untuk bertemu dengan Menteri Pendidikan yang baharu uintuk membincangkan isu-isu ini dan diharapkan dapat mempengaruhi perdebatan dasar berkaitan pendidikan di Malaysia,” kata beliau. - Bernama

loading...

Google+ Followers