Tuesday, 10 April 2018

Naik pangkat guru, bukan janji manifesto PRU - Mahdzir

Imej via Utusan Online
KUALA LUMPUR 5 April - Pengumuman lapisan kenaikan pangkat DG56 bagi pegawai kerajaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bukan janji manifesto, sebaliknya ia adalah satu tawaran yang dibuat Perdana Menteri selaku ketua eksekutif kerajaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengumuman pengesahan itu adalah kerana keprihatinan Perdana Menteri tentang ramai kakitangan kerajaan khususnya guru yang terkepung di tangga gaji DG54 iaitu gred terakhir sebelum mereka melangkah ke Jusa C.
Sebagai contoh, kata beliau, jika guru mendapat gred DG54 pada usia 53 tahun, guru terbabit mempunyai tempoh perkhidmatan selama tujuh tahun lagi dan peluang kenaikan pangkat ke Jusa C pula adalah terhad.

“Guru bermula dari DG41 bagi lulusan universiti hingga ke DG54. Terdapat kira-kira 450,000 guru dan lebih 300,000 adalah lulusan universiti. Bayangkan berapa banyak yang berada di DG54.

“Beliau (Perdana Menteri) melihat ramai terkepung di DG54, pada umur 53 tahun dapat DG54, perkhidmatan ada tujuh tahun, Jusa C tidak banyak, jadi selepas lima tahun mereka dapat DG56, lepas dua atau tiga tahun bersara dengan DG56,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Online untuk segmen Sembang Online bertajuk: Jangan Politikkan Pendidikan di sini hari ini.

Tambah beliau, tawaran itu bukan kerana untuk dijadikan gula-gula pilihan raya, tetapi selama ini banyak faedah telah diberi kepada kakitangan awam.

“Bukan ini sahaja ditawarkan kerajaan dalam tempoh lima dan enam tahun, jadi elok kita balas budi melalui pilihan raya, tidak jadi masalah kalau kerajaan sekarang ini dikekalkan kerana telah nampak plan jangka panjang arah tuju pendidikan negara menjelang 2020 hingga ke TN50, itu hasrat dan niat kerajaan,” jelas beliau.

Perdana Menteri semalam mengumumkan kerajaan akan mewujudkan lapisan kenaikan pangkat Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan khusus bagi pegawai yang berada lebih lima tahun pada DG54.

Berkuat kuasa 1 Januari tahun depan (2019), ia memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta. - UTUSAN ONLINE


loading...

Google+ Followers