Majikan boleh didenda, penjara jika tidak benar pekerja mengundi

19:48:00
PIHAK Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah mengumumkan pada Selasa hari ini bahawa tarikh proses pengundian Pilihanraya Umum Kali Ke - 14 (PRU14) akan jatuh pada 9 Mei iaitu hari Rabu.

Tarikh berkenaan adalah waktu bekerja, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab moral untuk semua pihak majikan yang mempunyai pekerja yang layak untuk mengundi untuk membenarkan mereka keluar mengundi.

Tanggungjawab majikan untuk membenarkan pekerja untuk keluar mengundi bukan sahaja satu tanggungjawab moral malah ia turut menjadi satu obligasi undang-undang yang perlu dipatuhi oleh majikan dalam negara kita.

Perkara ini jelas termaktub dibawah Seksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] yang memperuntukkan dengan jelas bahawa dalam membolehkan pekerja menunaikan hak mereka sebagai pengundi, majikan diminta untuk memperuntuk tempoh yang munasabah kepada mereka untuk mengundi.
Tidak ada definisi yang jelas terhadap perkataan “tempoh yang munasabah”, namun ianya dapat difahami sebagai satu tempoh yang munasabah untuk mana - mana pekerja untuk menghentikan tugas ditempat kerja buat tempoh waktu tertentu serta keluar untuk menunaikan kewajiban mereka untuk mengundi.

Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam memberi tempoh masa kepada pekerja yang ingin menunaikan kewajiban mereka seperti jarak diantara tempat kerja pekerja dengan tempat mengundi, pengangkutan yang ada dan yang ingin digunakan, jumlah pengundi yang ada didalam sesebuah kawasan, dan lain - lain lagi.

Pihak majikan perlu ketahui bahawa ianya akan menjadi satu kesalahan buat mereka sekiranya mereka tidak membenarkan pekerja mereka yang layak untuk mengundi untuk keluar mengundi. Jika disabitkan dengan kesalahan akan dikenakan hukuman denda atau penjara.

Mengikut Seksyen 25 (3) akta yang sama “Mana - mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan membenarkan pekerjanya keluar mengundi, boleh apabila disabitkan, didenda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama setahun.

Perlu diketahui juga para majikan tidak boleh membuat apa - apa potongan daripada gaji atau saraan pemilih, mengenakan atau menuntut daripadanya apa - apa penalti kerana tidak hadir bekerja dalam tempoh yang diberikan untuk keluar mengundi.

* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »