Apa proses yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan?

15:12:00
KUALA LUMPUR 6 April - Teka-teki mengenai bila Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan berlangsung akhirnya terjawab. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini secara rasmi mengumumkan pembubaran Parlimen penggal ke-13 berkuat kuasa esok selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mohamad V di Istana Negara pagi ini.

Serentak itu, melainkan Sarawak, Menteri Besar dan Ketua Menteri seperti dinasihatkan Perdana Menteri akan menghadap Sultan dan Yang Dipertua Negeri di negeri masing-masing untuk mendapatkan persetujuan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Secara tradisi hanya Sarawak satu-satunya negeri yang melaksanakan pilihan raya negeri secara berasingan dari Persekutuan dan negeri-negeri lain.

Pengumuman pembubaran Parlimen dan DUN akan membolehkan Yang Dipertua atau speaker Parlimen atau DUN memaklumkan kepada SPR mengenai pembubaran tersebut secara rasmi.

Selepas menerima pemakluman mengenai pembubaran dewan, SPR kemudiannya akan memanggil mesyuarat penuh yang terdiri daripada anggota-anggota suruhanjaya bagi menentukan perkara-perkara berkaitan dengan pilihan raya dan tarikh penamaan calon.

SPR akan mengumumkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan hari penamaan calon dan juga hari pengundian dalam satu sidang akhbar khas.

Mengikut Perkara 55 (4) SPR mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya mulai tarikh pembubaran Parlimen dan juga Dewan-dewan Undangan Negeri.

Sejurus pengumuman tarikh penamaan calon dan hari pengundian SPR akan mengeluarkan writ dan notis pilihan raya yang akan menjadi rujukan kepada parti-parti yang bertanding dan pengundi.

Pada hari penamaan calon, individu yang dipilih oleh parti masing-masing akan mengemukakan borang pencalonan kepada SPR. Penyerahan borang hanya berlangsung selama sejam bermula pada pukul 9 pagi.

Sejak PRU-13, SPR memansuhkan proses bantahan pada hari penamaan calon dan tempoh penarikan balik pencalonan bagi menjimatkan proses penamaan calon di seluruh negara yang dijangka tamat pada pukul 11 pagi.

SPR akan mengemas kini data semua senarai calon yang bertanding di dalam laman portal rasmi dari masa ke semasa sebaik saja menerima senarai penamaan calon daripada pengurus pilihan raya setiap kawasan.

Sebaik proses pencalonan selesai parti dan calon boleh memulakan kempen pilihan raya. Tempoh kempen ditentukan oleh SPR dengan tempoh paling panjang sejak tahun 1959 adalah selama 35 hari dan paling pendek selama sembilan hari.

Kempen pilihan raya tamat bermula detik 12 malam pada hari pengundian bagi memberikan tempoh bertenang kepada penyokong dan calon parti bertanding.

Anggota tentera serta pengundi tidak hadir diberi keistimewaan untuk melaksanakan pengundian awal beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihan raya. Mereka akan melaksanakan tanggungjawab bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang pada tarikh yang ditetapkan oleh SPR.

Pada hari pilihan raya, pintu pusat-pusat pengundian akan dibuka dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang. Sejurus tamat kertas undi akan dikira dan di pusat-pusat pengundian yang turut dihadiri oleh pemerhati wakil parti-parti politik yang bertanding.

SPR kemudiannya mengumumkan keputusan penuh pilihan raya serta parti politik yang mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang baharu.

Perdana Menteri dari parti yang menang akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Proses pilihan raya dianggap lengkap sebaik Perdana Menteri yang dilantik daripada parti yang menang mengumumkan anggota kabinet bagi penggal Parlimen ke-14.

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »