'Tidak akan pecat penjawat awam'

21:32:00
Imej via Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memecat mana-mana kakitangan awam dan mengurangkan jumlahnya seperti yang mahu dilaksanakan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun, berkata dakwaan kononnya perkhidmatan awam itu terlebih kakitangan juga tidak benar.

Katanya, perbandingan yang dibuat pembangkang dengan negara lain tidak tepat kerana jumlah penjawat awam di negara ini turut memasukkan anggota tentera dan polis.
"Perbandingan yang dibuat mereka umpama antara epal dengan oren. Jumlah perkhidmatan awam di negara ini, termasuk askar dan polis, manakala di negara lain tidak dimasukkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN - Ketereh) pada sesi soal jawab, di sini, hari ini.

Annuar dalam soalannya ingin mengetahui sama ada perkhidmatan awam di negara ini terlalu besar, malah pembangkang bercadang mengecilkan saiz itu jika mereka memerintah.

Joseph menjelaskan, ketika ini, ada pegawai di peringkat Setiausaha Bahagian dan ke atas terpaksa bekerja pada hujung minggu dan susah untuk cuti.

"Ada pegawai yang meminta berhenti atau bersara awal. Ada yang tidak mahu berkhidmat apabila diminta menyambung perkhidmatan kerana kepakaran mereka. Mereka beri alasan terlalu letih.

"Jelas apa yang dituduh pihak tertentu bahawa kita ada lebihan penjawat awam adalah tidak benar," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Nurul Izzah ​ Anwar (PKR-Lembah Pantai) mengenai pengurangan kakitangan awam, termasuk dalam program transfomasi kerajaan, beliau berkata, tiada program mengurangkan jumlah penjawat awam sedia ada.

Katanya, kerajaan hanya mengurangkan pengambilan kakitangan awam yang baharu.

Sumber: Berita Harian



loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »