Tuesday, 20 March 2018

Pelajar maut, pengetua kena tindakan tatatertib

SEREMBAN 19 Mac - Tindakan tatatertib dike­na­kan terhadap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Tampin kerana cuai sehingga menyebabkan seorang pelajar perempuan maut ter­kena bilah pisau traktor mesin rumput, Februari lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, tindakan diambil terhadap pengetua lelaki itu kerana membenarkan kontraktor pembersi­han memo­tong rumput di padang se­kolah ketika pelajar sedang me­lakukan aktiviti.

“Pengetua sekolah berkenaan sepatutnya tidak membenarkan kerja-kerja memotong rumput dijalankan ketika para pelajar berada di padang.

“Prosedur operasi standard (SOP) kita dengan jelas me­nyatakan bahawa kontraktor tidak sepatutnya melakukan apa-apa kerja apabila terdapat pelajar di padang sekolah,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pendidik La Sallian Malaysia Ketujuh di sini hari ini.

Sin Woon bagaimanapun enggan mengulas bentuk tindakan yang diambil terhadap pengetua terbabit.

Ditanya sama ada tindakan turut dikenakan ke atas kontraktor pembersihan, beliau berkata, ia bergantung kepada hasil siasatan polis.

Dalam kejadian pada 13 Februari lalu, pelajar tingkatan dua SMK Tuanku Abdul Rahman, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia selepas kepalanya terkena bilah pisau traktor mesin rumput semasa menjalani latihan kawad di padang sekolah.

Dua pelajar lain, Abdullah Haz­lan, 14, dan Mohd. Farhan Reza Badrul Hesam, 13, turut cedera dalam kejadian tersebut.

loading...

Google+ Followers