Guru Besar maut kereta rempuh tiang lampu isyarat

02:50:00
SERI ISKANDAR: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lambor Kiri maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar lereng bukit dan merempuh tiang lampu isyarat di Kilometer 12.5, Jalan Seri Iskandar-Parit di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang itu, mangsa Mohd Azizi Mohamad Salleh, 50, ditemui meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu PROTON Waja dalam perjalanan dari Dewan Serbaguna Seri Iskandar untuk balik ke rumahnya di Kampung Tengah, Parit.

"Sebaik tiba di lampu isyarat simpang tiga jalan, kereta mangsa dipercayai terbabas dan melanggar lereng bukit dan menyebabkan tiang lampu isyarat patah dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohamad Zainal berkata, kejadian berlaku dalam keadaan jalan basah selepas hujan dan tiada saksi yang melihat kemalangan itu.

Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan di Hospital Changkat Melintang dekat sini bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 malam dan sepasukan anggota dari Balai Seri Iskandar bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik pasukan tiba, didapati mangsa terperangkap dalam kenderaan yang kemudian disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di situ.

"Anggota mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.11 malam," katanya.

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »