SOP tidak benarkan murid berada di kawasan penyelengaraan - Timbalan Menteri

23:41:00
SEREMBAN: Prosedur Operasi Standard (SOP) menetapkan pelajar tidak boleh berada di kawasan penyelenggaraan termasuk memotong rumput sedang dijalankan bagi mengelakkan kemalangan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata pihak kementerian akan mendapatkan laporan daripada pihak berkenaan berhubung kenapa penyelengaraan dilakukan serentak dengan raptai hari sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Gemas yang menyebabkan seorang pelajar maut dan 2 lagi pelajar cedera.

“Pihak kementerian memandang serius perkara ini dan masih menunggu siasatan terperinci daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin serta pihak sekolah,” katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di SMK Mantin hari ini. Turut hadir Pengetua SMK Mantin Norfaimi Mohamad Nor.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi semalam, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya terpotong 2 selepas terkena bilah pisau mesin rumbut yang melayang manakala 2 rakannya Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, masing-masing cedera di telinga dan belakang kepala.

“Setelah kita tahu kebenaran barulah kita boleh mengambil tindakan susulan dan langkah-langkah untuk mengelakkan insiden yang sama daripada berlaku.

“Kejadian ini boleh menjadi panduan kepada semua sekolah supaya jangan memandang ringan kerana kemalangan boleh berlaku di mana jua dan pada bila-bila masa,” katanya.

Chong berkata semasa kejadian, seramai 120 pelajar sedang duduk berehat di atas padang selepas selesai menjalani raptai perbarisan Hari Sukan.

Beliau berkata pelajar yang trauma dengan kejadian yang menimpa rakan mereka akan diberikan khidmat kaunseling dan menurutnya buat masa ini guru sekolah berkenaan sedang membantu memulihkan semangat pelajar yang melihat kejadian itu.

“Kita memberikan kaunseling kepada pelajar-pelajar supaya mereka boleh mengharungi detik-detik ini termasuk 2 pelajar yang cedera dalam insiden berikut,” katanya.

Sementara itu, Chong turut menasihatkan agar orang awam tidak memberikan sebarang komen yang boleh mengeruhkan keadaan dan biarlah pihak berkaitan menjalankan siasatan untuk mencari kebenaran.

Sumber: Free Malaysia Today

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »